Undi tak percaya boleh tukar PM



KUALA LUMPUR – Seorang Perdana Menteri (PM) boleh ditukar dengan menggunakan undi tidak percaya di parlimen dan begitu juga seorang menteri besar (MB) melalui proses yang sama di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Walaupun MB juga dipilih dengan restu istana namun ia boleh berubah jika ada undi tidak percaya di DUN.


Itu pandangan pemerhati politik, Azizi Safar dalam laman sosial Facebook beliau yang mengulas jawapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang ‘tukar PM’.

Kata Azizi, jawapan Mahathir yang mengatakan hanya rakyat sahaja boleh menukar seorang PM adalah kurang tepat sebaliknya menggunakan undi tidak percaya sahaja.


“Kata Mahathir bukan mudah tukar PM sebagai respons kepada gurauan TMJ. Hanya rakyat boleh tukar PM, kata Mahathir.

“Sebenarnya itu juga tidak betul juga. Sebagaimana kata Mahathir, DUN boleh tukar MB pilihan Istana, parlimen juga boleh tukar PM dengan cara sama yang dibenarkan oleh sistem kerajaan demokrasi.


“Jika undi tidak percaya diluluskan parlimen terhadap seseorang PM maka bertukarlah kerajaan dan juga PM tanpa pilihan raya,” katanya.

Menurut beliau, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mempertimbangkan kaedah itu untuk menjadi PM.


“Seseorang PM  boleh juga meletak jawatan. Jika itu berlaku maka bertukar jugalah PM, dari yang lama kepada yang baru,” tulisnya lagi.

Baru-baru ini, tular insiden rakaman video memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.


Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan ‘hidup TMJ’ tetapi ada seorang penyokong pula berkata ‘tukar Mora’, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Kenderaan SUV itu tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata, ‘daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri’ dipercayai di ucapkan oleh TMJ dari dalam kereta tersebut di susuli gelak ketawa dari umum.


Susulan daripada itu, Mahathir memberikan jawapan kepada gurauan tersebut dalam nada sinis dengan mengatakan TMJ bukan ‘orang besar’ untuk menukarnya.

“Dahulu kita ingat, pada masa dahulu ada TMJ sudah ditukar, beri kepada adik dia. Jadi TMJ boleh tukar.


“PM cuma rakyat sahaja yang boleh tukar, bukan dia. Dia ingat dia orang besar, dia bukan orang besar, dia orang kecil,” kata Tun hari ini kepada pemberita di Beijing.

Dalam pada itu, Azizi juga mengingatkan Mahathir tentang perjanjian beliau dengan Anwar yang kini sedang mengira detik untuk menjawat jawatan tersebut.


“Mahathir dah kata Anwar akan ganti dia sebagai PM. Mengikut perjanjian antara mereka, pertukaran akan berlaku selepas dua tahun Mahathir jadi PM. Itu pun kalau Mahathir menghormati perjanjian yang dibuat.

Minggu depan dah cukup setahun Mahathir jadi PM. Maka tinggal lagi setahun sajalah sebelum PM Malaysia bertukar daripada Mahathir kepada Anwar. Boleh jadi ke?,” soal Azizi. – MalaysiaGazette

Undi tak percaya boleh tukar PM Undi tak percaya boleh tukar PM Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 29, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...