Tak guna bini rasmi kapal tapi tak boleh jaga Islam



Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menempelak pemimpin Amanah sebagai tidak mampu menjaga kepentingan agama Islam meski memegang jawatan tinggi dalam kerajaan persekutuan, hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama pemimpin tersebut, beliau dipercayai menyindir Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang kini menteri pertahanan.


Jelas Mohd Amar, PAS tidak sesekali menyesal dengan keputusan untuk tidak bersama PH pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu

Menurutnya, kalau diambil kira dalam konteks parti sahaja, PAS boleh duduk dengan PH dan hari ini boleh menjadi kerajaan hari ini dan beliau mungkin sudah menjadi menteri.


"Nak banding dengan seorang dua dalam kabinet, rasanya cerdik ambo (saya). Ambo rasa cerdik ambo.

"Selepas PRU ke-14 wartawan tanya presiden, PAS tak menyesal ke tidak bersama PH dan beliau jawab mudah. Sikit pun tak disesalkan. Tiada kesalan walaupun kita tak dapat apa-apa.


"Sebab matlamat kita matlamat Islam. Kalau kita duduk di Putrajaya boleh jadi menteri pun, tapi kalau setakat boleh naik kereta besar, gaji besar, bini boleh rasmi kapal tapi kita tak boleh bercakap bab Islam buat apa?

"Dijaga (kawal) bukan main dengan kereta kebal, askar tetapi nak jaga Islam tak boleh. Itu benda penting untuk kita ingat, jadi bagi kita kepentingan Islam lebih utama. Saya sengaja sebut nak bagi kita faham," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung ke-58 PAS Kawasan Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Sebelum ini isu perasmian sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia oleh isteri menteri pertahanan menjadi tumpuan umum, malah dikritik pelbagai pihak walaupun ia adalah amalan tradisi dalam institusi pertahanan itu.


Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan menyifatkan krisis perpecahan yang pernah berlaku dalam PAS sebelum ini adalah disebabkan kegagalan sesetengah individu memahami perjuangan PAS.

Katanya, sebarang keputusan dibuat oleh presiden dan PAS pusat adalah mengambil kira pelbagai perkara dan ahli perlu faham dan terima.


"Sebelum PRU berlaku krisis dalam PAS sehingga wujudnya Amanah, orang-orang ada jawatan penting dalam parti (PAS) masuk Amanah dan bertanding dalam PRU. Puncanya kerana tidak faham.

"Kenapa presiden buat gini, kenapa parti buat gini? sebab kita tak faham suasana, dan sifat parti kita sendiri. Itu yang jadi masalah," katanya.


Beliau turut menjelaskan keputusan politik dalam PAS dibuat dengan menilai kepentingan Islam.

Maka katanya, seluruh objektif dan pertimbangan PAS semuanya dibuat atas kepentingan Islam dan bergerak mengikut kaedah agama. - MK

Tak guna bini rasmi kapal tapi tak boleh jaga Islam Tak guna bini rasmi kapal tapi tak boleh jaga Islam Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 19, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...