Saya dihukum kerana dedahkan PH menipu – Najib



KUALA LUMPUR 11 April - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau dihukum kerana mendedahkan bukti penipuan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau merujuk kepada usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang mencadangkan supaya Ahli Parlimen Pekan itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama tiga bulan.


Menurut Najib, PH tidak senang dengan pendedahannya bahawa pembelian kepentingan dalam syarikat PT Eagle High Plantations (EHP) oleh Felda mengandungi klausa ‘put option’ yang memastikan Felda tidak akan menanggung kerugian atas transaksi itu, sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau menipu Felda.

“Hakikatnya ialah, sejak bulan Februari, saya telah minta kerajaan PH untuk mendedahkan wujudnya put option dalam perjanjian pembelian 37 peratus dalam EHP oleh Felda tetapi Kerajaan PH tidak mahu layan dan tak mengendahkan fakta ini kerana ia sangat jelas bercanggah dengan naratif propaganda mereka.


“Put option ini membolehkan Felda jual kembali kepentingan 37 peratus pada harga pembelian asal dan dicampur faedah 6 peratus setahun. Terma ini akan menjamin bahawa Felda tidak akan rugi dengan pelaburan mereka di dalam syarikat berpotensi yang kini sudah capai pengeluaran dua juta tan buah tandan segar iaitu 10 peratus daripada pengeluaran seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.


Najib didakwa mendedahkan Laporan Kertas Putih Felda di laman Facebook miliknya ketika laporan itu masih berstatus embargo.

Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.


Sementara itu, Najib turut menyenaraikan beberapa kes yang melibatkan salah laku pemimpin PH yang masih belum dikenakan tindakan.

Tanpa menyebut mana-mana nama, antara yang dibangkitkan ialah kenyataan seorang menteri yang mengelirukan Dewan Rakyat tentang hutang negara; tindakan seorang menteri yang menuduh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mereka cerita dongeng dan kenyataan seorang menteri yang mendakwa BN merompak duit cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.2 bilion.


“Bukan itu sahaja. Kini sudah tujuh kali pilihan raya kecil (PRK). Berpuluh tuduhan dengan bukti kukuh telah menunjukkan PH melanggar undang-undang pilihan raya dalam pilihan raya kecil ini.

“Tetapi tidak ada satu pendakwaan dibenarkan oleh pejabat Pendakwa Raya di bawah telunjuk kerajaan PH untuk membawanya ke mahkamah. Tetapi yang dihukum adalah saya hari ini kerana melakukan kesalahan yang amat besar iaitu mendedahkan bukti bahawa kerajaan PH sedang menipu,” katanya. - UO


[ Please subscribe Abu Leman Youtube channel ]

Saya dihukum kerana dedahkan PH menipu – Najib Saya dihukum kerana dedahkan PH menipu – Najib Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 11, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...