Rombakan Exco Johor: Mahathir tiada peranan




KUALA LUMPUR 25 April - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai apa-apa peranan mengikut Perlembagaan Negeri Johor dalam urusan rombakan Exco Kerajaan Negeri.

Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, menurut Perkara 4 (2)(b) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor 1895, Sultan Johor hendaklah melantik tidak lebih daripada lapan orang Exco Kerajaan Negeri selepas baginda mendengar nasihat daripada Menteri Besar Johor.



Malah, katanya, mengikut Perkara 4 (7) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor 1895, kesemua Exco Kerajaan Johor memegang jawatan tersebut mengikut tempoh yang diperkenankan oleh Sultan melainkan pelantikannya ditarik balik oleh Sultan Johor atas nasihat Menteri Besar Johor.

Berikut merupakan kenyataan penuh Mohd. Khairul Azam:



Assalamualaikum Tun Dr. Mahathir yang disayangi.
Saya ingin memberikan sedikit taklimat kepada Tun berkaitan dengan proses lantikan Exco Kerajaan Johor menurut Perlembagaan Negeri Johor. Mungkin Tommy Thomas terlalu sibuk mengendalikan kes Najib di mahkamah sekarang dan beliau tiada masa untuk memberikan taklimat ini kepada Tun.



Menurut Perkara 2 Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor 1895, kuasa Eksekutif Kerajaan Negeri adalah kuasa Sultan Johor tetapi fungsi eksekutif Kerajaan Johor hendaklah diberikan Sultan Johor kepada orang atau autoriti lain.

Untuk makluman Tun, peruntukan yang hampir sama seperti di atas turut terkandung dalam Perlembagaan semua Negeri Beraja yang lain tidak hanya Johor.



Selanjutnya, menurut Perkara 4 (2)(b) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor 1895, Sultan Johor hendaklah melantik tidak lebih daripada lapan orang Exco Kerajaan Negeri selepas baginda mendengar nasihat Menteri Besar Johor.

Di sini Tun, tiada langsung peranan Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri untuk menasihatkan baginda Sultan untuk melantik sesiapa menjadi Exco Kerajaan Negeri, yang ada hanya kuasa menasihat oleh Menteri Besar Johor sahaja.



Seterusnya Tun tersayang, mengikut Perkara 4 (7) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor 1895, kesemua Exco kerajaan Johor memegang jawatan tersebut mengikut tempoh yang diperkenankan oleh Sultan melainkan pelantikannya ditarik balik oleh Sultan Johor atas nasihat Menteri Besar Johor.

Sekali lagi Tun, Perdana Menteri tiada apa-apa peranan langsung mengikut Perlembagaan Negeri untuk urusan rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor. Semuanya adalah atas kuasa Perlembagaan Sultan Johor selepas mendengar nasihat Menteri Besar Johor.



Cubaan campur tangan Perdana Menteri ke atas proses ini adalah tidak berperlembagaan dan tidak mengikut ‘Rule of Law’. Semoga Tun dapat menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri.

Sekian terima kasih.




- UO
Rombakan Exco Johor: Mahathir tiada peranan Rombakan Exco Johor: Mahathir tiada peranan Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 25, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...