Rawatan percuma wad kelas 3 di Terengganu



KUALA TERENGGANU 4 April - Meskipun tidak mendapat 'lampu hijau' daripada Kementerian Kesihatan, rawatan percuma di wad kelas tiga di hospital-hospital kerajaan di seluruh Terengganu tetap akan dilaksanakan juga Jun nanti.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah kerajaan negeri mengambil kira janji yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) untuk melaksanakan kemudahan itu demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri sangat prihatin dan usaha ini untuk tepati janji dalam manifesto PRU-14. Mekanisme dah siap tahun lalu manakala bajet pun dah lulus. Kita juga dah perkemas di segi teknikal namun tak dapat restu daripada Kementerian Kesihatan,” katanya ketika mnjawab soalan Alias Harun (Pas-Rantau Abang).


Alias mengakui sepatutnya perkhidmatan rawatan percuma di wad kelas tiga itu mula dilaksanakan Januari lalu namun memandangkan tidak mendapat kebenaran kementerian berkenaan, ia terpaksa ditangguhkan hingga sekarang.

Beliau mengulas lanjut, sebelum ini beberapa kali pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu namun tidak mendapat maklum balas positif, malahan pelbagai alasan diberi.


“Antara alasannya, akan berlaku lambakan pesakit di wad kelas tiga, berlaku kenaikan kos pentadbiran dan sebagainya.

“Dengan pelaksanaannya nanti (rawatan percuma Jun depan), kita akan tempatkan seorang pegawai di hospital untuk urusan bayaran bil dan kalau kementerian tak boleh bayar gaji mereka ini, kita (kerajaan negeri) sanggup bayar. Ini bukti kesungguhan kita,” ujarnya. - UO




Rawatan percuma wad kelas 3 di Terengganu Rawatan percuma wad kelas 3 di Terengganu Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 04, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...