Kerajaan PH tiada hala tuju, asyik ulang isu 1MDB, kata Mohamad



SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketandusan isu untuk menyerang Barisan Nasional (BN) apabila ia sering memainkan isu skandal 1MDB, khususnya setiap kali pilihan raya, kata Mohamad Hasan.

Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, walaupun kerajaan PH kini memegang tampuk pentadbiran negara, namun mereka masih gagal membuktikan Najib benar-benar bersalah berhubung skandal tersebut.


Mohamad berkata, jika Najib terbukti bersalah seperti yang didakwa oleh pemimpin PH, maka bekas perdana menteri itu sepatutnya ditangkap, tetapi perkara sebaliknya berlaku.

“PH tidak ada hala tuju, dalam Parlimen asyik-asyik isu 1MDB.


“Dulu kamu kata kertas pendakwaan sudah siap, sekarang kenapa tidak tangkap? Bukan saya nak Najib ditangkap, tapi ini semua penipuan, semua fitnah semata-mata,” katanya ketika berceramah di Kampung Sendayan, dekat sini, malam tadi.

Untuk rekod, Najib pernah dituduh melibatkan kes 1MDB.


Individu yang juga bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang dikatakan rapat dengan Najib turut didakwa.

Arul didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan bekas perdana menteri itu berhubung pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB.


Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib, yang didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai awam (perdana menteri) untuk mendapatkan suapan bagi dirinya bagi perlindungan daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB

Najib sebelum ini, beberapa kali menafikan melakukan apa-apa kesalahan melibatkan 1MDB.


Dalam perkembangan sama, Mohamad juga meminta penduduk Rantau, khusunya di Sendayan, supaya hadir memberi sokongan moral kepada Najib yang kini berdepan perbicaraan membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

“(Najib datang Rantau), tuan-tuan berilah sokongan moral kepada beliau, sebab banyak jasanya.


“(Kalau) beliau melakukan kesalahan, itu masalah dia, tetapi kita sebagai rakyat, sebagai penduduk, banyak jasanya kepada kita. Sebagai anak Sendayan, yang jelas sekali tanpa bantuan Najib, saya memang tidak akan berjaya mengurus Sendayan.

“Kampung Sendayan dulu orang tidak mahu datang. Menangis kalau cikgu kena tukar ke sini, hari ini Sendayan sudah jadi ‘Damansara’ Negeri Sembilan,” katanya.


Mohamad berkata, beliau tidak akan mampu menyelesaikan isu tanah dan membangunkan Sendayan semasa menjadi menteri besar tanpa bantuan Najib.

Difahamkan Najib akan hadir ke Rantau bermula hari ini sehingga Jumaat.


Mohamad yang merupakan calon BN dalam PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April depan, berdepan cabaran calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin. - FMT

ARTIKEL BERKAITAN : 'Suruh tengok kotak kosong, dia letak muka kat dalam'

Kerajaan PH tiada hala tuju, asyik ulang isu 1MDB, kata Mohamad Kerajaan PH tiada hala tuju, asyik ulang isu 1MDB, kata Mohamad Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 04, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...