Pas sokong bubar DUN Johor dalam masa terdekat



JOHOR BAHRU 10 April - PAS Johor menyokong cadangan UMNO negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, Pas Johor yang kini bersama blok pembangkang menyokong langkah Pengerusi UMNO negeri yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohamad untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyerahkan surat cadangan pembubaran DUN.


Menurutnya, Pas negeri terkejut dengan peletakan jawatan Menteri Besar oleh Datuk Osman Sapian dan lebih mengejutkan ia berlaku semasa Sultan Johor tidak berada di dalam negeri dan surat peletakan tersebut tidak dapat diserahkan kepada baginda.

“Bagaimanapun, PAS Johor berpendapat peletakan jawatan oleh Osman itu adalah sangat wajar berikutan kegagalan beliau memimpin kerajaan negeri Johor ke arah yang lebih baik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.


“Kegagalan beliau mengemukakan pelan tindakan perancangan ekonomi negeri sebagaimana dititahkan oleh baginda sehingga kini telah mengakibatkan hala tuju pembangunan di negeri Johor masih tidak jelas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Osman bersama kerajaan negeri pimpinannya juga gagal menangani isu pencemaran toksik di Pasir Gudang baru-baru ini sekali gus ia menyerlahkan lagi kelemahan serta kerapuhan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).


Kerajaan negeri juga, katanya, seolah-olah tiada pencapaian baik selain pelaksanaan dasar baharu juga tidak berkesan khususnya kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu, pada masa sama, Abdullah menggesa supaya apa jua urusan dan keputusan membabitkan negeri Johor oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan pusat, tidak dibuat dengan membelakangi Sultan Johor.


“Kenyataan sombong Dr. Mahathir yang mengatakan Sultan Johor tiada hak dalam pelantikan Menteri Besar amat dikesali dan Pas Johor amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku akan membawa berulangnya peristiwa pada tahun 1986,” katanya. - UO

ARTIKEL BERKAITAN : DUN Johor bakal dibubarkan dalam masa terdekat
Pas sokong bubar DUN Johor dalam masa terdekat Pas sokong bubar DUN Johor dalam masa terdekat Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 10, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...