PANAS: PKR Sabah minta Mahathir bersara



Kenyataan Terbuka Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah
14 April 2019

“Suara Rakyat, Percepatkan Peralihan Kuasa”

Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah hari ini menggesa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohamad untuk menyegerakan peralihan kuasa seperti yang dijanjikan.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) 2018 lalu, telah diumum tiga (3) janji lain HARAPAN iaitu mengangkat Tun Dr.Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, mengangkat Datuk Seri Dr.Wan Azizah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri serta menyegerakan proses permohonan pengampunan diRaja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.


Manifesto – Satu Kegagalan Nyata

Kerajaan yang dipimpin Tun Mahathir pada hari ini telah gagal melaksana apa yang terbuku dalam manifesto HARAPAN. Bermula dengan kegagalan menunaikan 10 janji 100 hari HARAPAN, kabinet yang ada hanya mampu memberikan alasan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Bahkan tanda awal atau initiatif awal pelaksanaan manifesto masih tidak kelihatan melainkan hanya menyambung atau menambah baik apa yang sedia ada. Kemarahan rakyat semakin jelas bila Tun Mahathir dengan lantang menyatakan “manifesto bukan kitab suci”.


Pengukuhan Atau Pengkhianatan – Pilih Jalan Salah

Mutakhir ini kita dapat melihat ramai pemimpin UMNO direkrut oleh BERSATU. Alasan yang diberikan adalah kerana ingin memperkukuhkan HARAPAN. Namun apa yang dilihat hanya proses ‘penyucian’ bekas-bekas pemimpin UMNO dan pengukuhan BERSATU dengan cara salah.

BERSATU juga telah mengkhianati janji yang mereka buat bersama HARAPAN Sabah serta WARISAN bahawa BERSATU tidak akan masuk ke Sabah.



BERSATU merekrut pemimpin-pemimpin UMNO yang ingin mencari ‘suaka’ politik demi ‘survival’ mereka sendiri dan seperti diduga tindakan BERSATU menyelamatkan ‘poket’ wakil rakyat dari UMNO Sabah ini hanya sia-sia.

Ini terbukti bila HARAPAN gagal dalam mendapat sokongan 2/3 Ahli-ahli Parlimen dalam usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi (Wilayah) yang sama rata dengan Semenanjung seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun dikatakan Tun Mahathir telah ‘mengikat’ ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Suara Rakyat, Suara Keramat

Kita melihat pada faktor sokongan rakyat melalui tujuh (7) Pilihanraya Kecil (PRK) yang lalu. Kita bermula dengan baik pada empat(4) PRK sebelum ini iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong bagi kerusi DUN manakala bagi kerusi Parlimen kita menang bergaya di kerusi Port Dickson dengan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.


Namun kita gagal dengan teruk pada tiga (3) PRK terakhir.

Selepas BN berjaya ditumbangkan, rakyat sudah sedar akan kuasa yang mereka ada. ‘Teguran’ rakyat pada tiga (3) PRK terakhir iaitu Cameron Highland (DAP), Semenyih (BERSATU) dan terkini Rantau (KEADILAN) merupakan isyarat jelas untuk pimpinan HARAPAN agar tidak mengambil ringan janji yang telah diungkap sebelum tumbangnya BN.

11 Mei akan datang kita bakal berhadapan dengan satu lagi PRK iaitu PRK Parlimen Sandakan. Kerajaan terutama pimpinan perlu lebih agresif dan bertanggungjawab terhadap janji yang telah diberi atau kita bakal kehilangan satu lagi kerusi Parlimen.


Suara rakyat, suara keramat. Hukuman rakyat ini perlu dinilai dan Tun Mahathir perlu segera melaksanakan peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan.

Tun telah terlalu lama berjasa pada negara. Selepas 22 tahun diberikan mandat mentadbir negara, sekali lagi selepas 15 tahun melepaskan jawatan Perdana Menteri, Tun telah diberikan mandat itu sekali lagi oleh bekas seteru Tun dari KEADILAN, DAP dan AMANAH demi rakyat.


Bulan depan (Mei) genap setahun Tun menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Adalah lebih baik jika Tun berehat dan menyerahkan amanah mentadbir negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pastinya Datuk Seri Anwar sentiasa mendengar nasihat atau pandangan Tun bagi memandu negara kearah kesejahteraan.

Dalam era Malaysia Baru, kita sebagai pemimpin diminta untuk jujur dalam berkata. Dan apa yang saya suarakan ini adalah suara rakyat yang ingin melihat peralihan kuasa Perdana Menteri dari Tun Mahathir kepada Datuk Seri Anwar setelah 21 tahun berlalu.

Raymond Bin Ahuar
Ketua AMK Sabah
Setiausaha Politik Kepada Timbalan Ketua Menteri,
Ketua Pemuda HARAPAN Sabah
Ahli MPP Keadilan Malaysia

PANAS: PKR Sabah minta Mahathir bersara PANAS: PKR Sabah minta Mahathir bersara Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 15, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...