MB Johor lepas jawatan cara terhormat



JOHOR BAHRU 8 April - Dewan Muda Johor (DMJ) mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengambil langkah berjiwa besar melepaskan jawatannya dengan cara terhormat, jika benar spekulasi beliau akan ditukar.

Menurut DMJ, cara begitu adalah lebih baik dan terpuji untuk Osman daripada membiarkan negeri ini terus diheret dalam kancah politik dalaman yang sememangnya bakal merugikan rakyat dan Johor jika spekulasi itu dibiar.


“Spekulasi Johor bakal mendapat Menteri Besar yang baharu pastinya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat, malah bakal memberikan imej tidak baik terhadap negeri dan menimbulkan kebimbangan pelabur untuk melabur di Johor.

“DMJ juga melihat kemelut baharu itu ada kaitan dengan krisis kesepakatan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) dengan setiap parti sudah tentu bercita-cita untuk meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar.


“Ia bukan satu situasi yang baik kerana secara tidak langsung boleh menyebabkan Menteri Besar sedia ada seolah-olah tidak mendapat sokongan bagi menumpukan usaha memajukan rakyat dan negeri ini,” menurut DMJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DMJ percaya bahawa sebuah pasukan kerajaan negeri yang baik pastinya mempunyai kesepakatan baik, saling mempercayai dan paling penting tidak mempunyai agenda politik tertentu dengan dipimpin ketua yang dihormati.


Namun, kata DMJ, apa yang berlaku adalah Johor sejak diambil alih kerajaan PH memperlihatkan Menteri Besar mentadbir negeri ini berseorangan tanpa sokongan dan dokongan daripada barisan Exco serta wakil rakyat blok kerajaan sendiri.

“Bermula defisit kepercayaan terhadap kejujuran kelayakan akademik sehingga caranya menguruskan bencana toksik di Sungai Kim Kim, dan kemuncaknya 'melancong' ke Batam, Indonesia meninggalkan rakyat di Pasir Gudang.


“Ia bukti jelas, kerajaan negeri Johor pada hari ini rapuh dan hilang identiti pemimpin yang memimpin dan situasi itu pastinya sesuatu yang tidak sihat untuk kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negeri ini.

“Jadi, desakan serta saranan bahawa Menteri Besar Johor ditukar atau dirombak dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan adalah sesuatu yang tentunya tidak memeranjatkan kita,” tambah kenyataan itu.


Justeru, kata DMJ, daripada terus berspekulasi, serta mengambil kira imej beliau yang sudah tercalar, adalah lebih baik Menteri Besar Johor berjiwa besar melepaskan jawatan dengan cara yang terhormat.

Kepada rakyat Johor, DMJ mengajak semua bersama-sama mendoakan yang terbaik dan menyokong segala tindakan serta jalan yang terbaik untuk negeri ini. - UO/AbuLeman



ARTIKEL BERKAITAN: GEMPAR: Osman Sapian letak jawatan Menteri Besar Johor
MB Johor lepas jawatan cara terhormat MB Johor lepas jawatan cara terhormat Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 08, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...