Malangnya Malaysia bukan ekonomi Harimau Asia, kata ahli ekonomi



SHAH ALAM: Seorang ahli ekonomi mempersoalkan penggunaan gelaran “Harimau Asia” bagi menggambarkan kedudukan ekonomi negara dengan berkata, Malaysia hanya layak digelar “harimau kecil” atau “naga kecil”.

Bercakap kepada satu forum bersempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di UiTM, Shah Alam, Madeline Berma berkata, 4 Harimau Asia sebenar ialah Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong.


Beliau berkata, Malaysia hanya berada di barisan kedua kuasa ekonomi Asia, sekali gus menyuarakan kebimbangannya bahawa “harimau kecil” itu mempunyai gigi yang “tidak tumbuh-tumbuh”.

Beliau berkata, sewaktu Malaysia mula-mula diiktiraf sebagai ekonomi “harimau kecil”, wujud rasa teruja kerana negara diangkat ke platform antarabangsa.


Wujud juga optimisme bahawa ekonomi negara akan berkembang menjadi salah satu negara Harimau Asia.

Bagaimanapun krisis ekonomi 1997 membantutkan kemajuan itu katanya, dan seterusnya mengingatkan bahawa sejarah boleh berulang semula sekiranya kerajaan tidak berhati-hati.


Berma juga bercakap tentang ketidaksetaraan yang wujud di negara ini dan berkata, ia boleh diatasi dengan “memberikan hak kepada orang lain”.

“Penduduk di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan. Mereka perlu diberikan bantuan dan sokongan tambahan,” katanya, dengan menambah bahawa dalam kes ini, persamaan bukanlah matlamatnya.


Beliau berkata, di Malaysia, ketidaksetaraan tidak lagi bersifat “horizontal”, iaitu isu jurang antara pelbagai kaum dan etnik.

“Kebimbangan kita sekarang ialah masalah ketidaksetaraan menegak, iaitu ketidaksetaraan dalam kalangan komuniti itu sendiri, misalnya antara orang Melayu yang kaya dan miskin, atau orang Iban kaya dan miskin.


“Ini tidak bermakna kita telah menyelesaikan masalah ketidaksetaraan horizontal. Cuma dinamikanya kini berbeza,” katanya dan menambah bahawa perbezaan yang wujud antara golongan Bumiputera dan bukan Bumiputera juga perlu ditangani.

Seorang lagi ahli panel, pakar ekonomi Zouhair Rosli berkata, matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi seperti terkandung dalam Model Baru Ekonomi (NEM) adalah “tidak berguna”.


“Ambil jumlah pendapatan negara dan bahagikan dengan jumlah penduduk,” katanya.

“Jika kita mahu menjadi negara berpendapatan tinggi, maka kita perlukan pendapatan perkapita sebanyak RM50,000 setahun atau lebih RM4,000 sebulan. Cuba bertanya orang di sebelah anda, adakah pendapatan bulanannya BM4,000? Kebanyakan akan berkata tidak.”


Beliau memetik angka Jabatan Perangkaan yang menunjukkan 5.5 juta daripada 11 juta pekerja mendapat gaji kurang RM1,900 sebulan.

“Saya tidak kata kita sama sekali tidak boleh bergantung pada objektif itu. Boleh,” katanya, tetapi menambah bahawa ia tidak memberi fokus kepada objektif kedua, iaitu keterangkuman.


Malah kata beliau, objektif keterangkuman itu sendiri memperlihatkan pelebaran jurang antara kawasan luar bandar dan bandar berikutan penekanan pada pembangunan infrastruktur di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. - FMT

Malangnya Malaysia bukan ekonomi Harimau Asia, kata ahli ekonomi Malangnya Malaysia bukan ekonomi Harimau Asia, kata ahli ekonomi Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 01, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...