Harga barang tak turun lepas hapus GST, kegagalan besar PH, kata pakar ekonomi



PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi berkata antara kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah kira-kira setahun berkuasa ialah tidak berjaya menurunkan harga barang walaupun selepas menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Prof Barjoyai Bardai berkata, rakyat mahu GST dihapuskan supaya harga dan kos barangan turun, tetapi keadaan sebaliknya berlaku, iaitu harga naik lebih banyak.


“Nampak kerajaan telah silap. Di satu pihak ia hilang RM20 bilion sumber cukai (daripada GST) dan di pihak lain ia tak berjaya menurunkan harga barang-barang.

“Rakyat melihat ini sebagai satu kegagalan besar PH,” katanya kepada FMT.


Beliau mengulas dapatan terbaru Merdeka Centre yang berkata tahap kepuasan pengundi terhadap pencapaian Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri merosot daripada 71% yang dicatatkan pada Ogos 2018 kepada 46% pada Mac tahun ini.

Kajian itu juga mendapati hanya 39% pengundi bersikap positif terhadap kerajaan PH berdasarkan bancian yang dijalankan badan penyelidik bebas itu di seluruh negara pada Mac.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu, Merdeka Center berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan persekutuan boleh dilihat pada peningkatan jumlah pengundi yang beranggapan “negara menuju ke arah yang salah” daripada 24% pada Ogos 2018 kepada 46% pada Mac 2019.

Dalam pada itu Barjoyai berkata, kajian badan itu melibatkan jumlah responden yang sedikit dan tidak boleh dkatakan mewakili semua pengundi.


Bagaimanapun, katanya jika kajian itu benar maka adalah jelas bahawa isu paling penting bagi pengundi adalah masalah ekonomi negara.

Beliau berkata ekonomi berkait rapat dengan harapan rakyat untuk melihat kos sara hidup yang tinggi dapat dikurangkan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.


“Dari segi pendapatan misalnya, ia dilihat masih sangat rendah berbanding kos sara hidup. Secara purata lebih 50% penduduk berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Sedangkan Kos sara hidup minimun adalah RM2,500 sebulan. Jadi sebenarnya, rakyat semakin susah dalam tempoh setahun ini. Pendapatan tak cukup bagi menampung perbelanjaan. Jadi terpaksa pinjam, menyebabkan ramai yang terjerat dengan hutang dan sebagainya,” kata beliau.


Barjoyai berkata, kebanyakan pengundi muda hilang harapan kepada PH dan dilihat mula memindahkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN).

Merujuk kepada tahap populariti Dr Mahathir yang dikatakan menurun ke tahap 46%, Barjoyai berkata beliau bukanlah individu yang mahukan popularti sebaliknya lebih fokus kepada agenda jangka panjang untuk melakukan pembaharuan, khususnya melibatkan orang Melayu.


“Kerajaan masih berpeluang untuk melakukan perubahan dalam 3 atau 4 tahun lagi sebelum pilihan raya umum ke-5 akan datang,” katanya.

Penganaslis ekonomi, Mohd Nazari Ismail juga senada dengan Barjoyai mengenai harapan rakyat yang mahukan PH menyelesaikan masalah ekonomi dan kos sara hidup.


“Populariti PH merosot kerana rakyat tidak merasai berlakunya perubahan dalam kualiti hidup mereka, terutamaya dari kos sara hidup yang dihadapi,” katanya. - FMT

Harga barang tak turun lepas hapus GST, kegagalan besar PH, kata pakar ekonomi Harga barang tak turun lepas hapus GST, kegagalan besar PH, kata pakar ekonomi Reviewed by Abu Leman Abu Seman on April 30, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...