Tun M: Saya pun kecewa dengan PH



ALOR SETAR 25 Mac - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membalas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara ringkas, Perdana Menteri ketika menjawab soalan mengenainya berkata, biarlah orang hendak kecewa kerana beliau juga merasai situasi yang sama.


“Takpa lah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan diorang (mereka),” reaksi ringkas Dr. Mahathir ketika ditemui selepas majlis amanat khas Perdana Menteri kepada penjawat awam Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.


“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.

“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam wawancara tersebut.


Malah dalam wawancara itu, Nurul Izzah turut mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya selepas penggalnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tamat.

Nurul Izzah sebelum ini, membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang juga merupakan ahli PAC meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta, Dr. Mahathir secara ringkas berkata, terpulang kepada mereka untuk bertindak demikian.

“Takpa lah mereka nak letak jawatan, letak lah, itu mereka punya hal,” kata Pengerusi PH itu.- UO


Tun M: Saya pun kecewa dengan PH Tun M: Saya pun kecewa dengan PH Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 25, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...