Tun M boleh jadi PM lebih 2 tahun dengan sokongan Umno-Pas


Dah tu Anwar macam mana?

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya Dr Mahathir Mohamad boleh terus mentadbir negara melebihi 2 tahun berbanding perjanjian yang dibuat pengerusi PPBM itu dengan Pakatan Harapan, dengan adanya sokongan Umno dan PAS, jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, mustahil untuk menggulingkan Mahathir daripada jawatan perdana menteri di Parlimen, dengan adanya sokongan 2 parti Melayu terbesar di negara ini.


“Bagi PH, mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan menggunakan ‘permainan’ dalaman untuk menghalang Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri.

“Namun, agak mustahil untuk beliau memimpin tanpa parti sekutunya, iaitu PKR, DAP dan Amanah,” katanya kepada FMT.


Sebelum pilihan raya umum ke-14, Mahathir bersama pimpinan PH membuat perjanjian untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengambil alih tugas perdana menteri selepas 2 tahun PH mentadbir negara.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, parti itu sedia menyokong Mahathir, jika berlaku undi tidak percaya dalam PH kerana mereka tiada masalah menyokong perkara yang memanfaatkan negara.


Isnin lalu, Naib Presiden PAS, Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, parti Islam itu hanya menyuarakan sokongan kepada Mahathir sebagai perdana menteri, jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen, bukannya kepada PPBM.

Azmi berkata, sokongan Umno dan PAS terhadap Mahathir jelas menunjukkan kedua-dua parti itu mempunyai objektif politik sama.


“Bagi mewujudkan keresahan terhadap dalaman PH.”

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata, kenyataan Mohamad semalam membuktikan PAS turut menyuarakan sokongan sama kepada perdana menteri dalam satu pertemuan bulan lalu.


Beliau merujuk pertemuan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan Mahathir di Yayasan Al-Bukhary pada 15 Februari lalu yang turut disertai Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan mendakwa 2 parti komponen Pakatan Harapan mungkin merancang menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi PAS berikrar menyokong perdana menteri dalam pertemuan itu kerana mendapati ada yang tidak kena dengan cara beliau bercakap mengenai sekutunya.


Kamarul Zaman berkata, kenyataan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengukuhkan lagi apa yang berlaku dalam pertemuan PAS dengan Mahathir.

“Sebelum ini, ramai yang mempertikaikan pertemuan itu sama ada benar atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.


“Jadi, apa yang Umno katakan (semalam) seolah-olah memberikan bayangan dan kewibawaan terhadap isi pertemuan tersebut, sekali gus mendekatkan kembali Umno dan PAS yang sebelum ini terjejas susulan pertemuan itu.”

Katanya, sokongan Umno terhadap Mahathir jelas menunjukkan pendirian parti itu sedia mendukung perjuangan Melayu.


“Meskipun Mahathir berlainan parti, tetapi Umno sanggup ketepikan perkara itu bila melihat beliau diasak pemimpin bukan Melayu.” - FMT

Tun M boleh jadi PM lebih 2 tahun dengan sokongan Umno-Pas Tun M boleh jadi PM lebih 2 tahun dengan sokongan Umno-Pas Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 06, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...