TOKSIK: 650 nelayan terkesan teruk



PASIR GUDANG 16 Mac - Pencamaran toksik Sungai Kim Kim di sini turut menjejaskan lebih 650 nelayan apabila hasil jualan berkurangan 50 peratus sejak insiden berlaku 7 Mac lalu.

Berikutan kejadian itu, pelbagai jenis ikan yang biasa dijual kepada peraih sebanyak 100 hingga 150 kilogram sehari kini hanya terjual sekitar 18 hingga 30 kilogram.


Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, jika jualan sehari mampu mencecah hingga RM4,000 sehari tetapi sejak insiden pencemaran toksik itu berlaku mereka dapat dalam RM300 hingga RM600 sehari sahaja.

"Sejak empat hari lalu, sebanyak dua tan ikan dan hasil laut terkumpul dianggar bernilai RM5,000 terpaksa disimpan dalam peti sejuk di pasar itu kerana ketiadaan pembeli.


"Ikan-ikan dan hasil laut yang dibeli peraih dihantar ke Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru pada setiap hari sama ada waktu pagi, tengah hari, petang atau malam," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan di Kampung Pasir Gudang Baru di sini hari ini.

Tambahnya, lebih 650 orang yang terjejas terdiri daripada nelayan di Pasir Gudang antaranya Kampung Tanjung Langsat, Kampung Kong Kong Laut, Kampung Sungai Latoh, Kampung Sungai Tiram, Kampung Bakar Batu, Kampung Plentong Tengah, Kampung Senibong, Kampung Teluk Jawa dan Kampung Kuala Masai.


Daripada jumlah itu, katanya, 250 nelayan terjejas teruk kerana mereka turut menangkap ikan antaranya ikan kitang, selangat, belanak dan belukang di Sungai Kim Kim melibatkan empat perkampungan nelayan iaitu Teluk Kabung, Perigi Aceh, Kampung Pasir Putih dan Pasir Gudang Baru.

"Logiknya, nelayan berdekatan Sungai Kim Kim sahaja yang terjejas tetapi ini hampir seluruh nelayan di Pasir Gudang turut terkena tempias kerana ramai yang takut nak beli ikan sebab merasakan makanan laut itu sudah tercemar," katanya.


Azli memberitahu, pada 6 Mac lalu dia dimaklumkan lebih 40 laporan polis dibuat membabitkan nelayan Orang Asli Teluk Kabung yang melaporkan terhidu bau busuk selain air sungai terlibat bertukar keruh dan menyebabkan ikan-ikan mati.

Dalam pada itu, Azli yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun menjadi nelayan berkata, permintaan terhadap kupang turut terjejas teruk kerana orang ramai takut untuk membeli lebih-lebih lagi jika datang dari Pasir Gudang.


"Kebiasaanya, kita mampu menjual 500 hingga 1,000 kilogram kupang sehari terutama kepada peniaga pasar sekitar Johor Bahru dan Batu Pahat tetapi disebabkan kejadian pencemaran itu kita mampu jual antara 100 hingga 300 kilogram sahaja," katanya.

Justeru, Azli berharap pihak bertanggungjawab berkaitan dengan industri perikanan dapat memberi penjelasan bahawa hasil laut itu selamat untuk dimakan sekali gus dapat memberi kelegaan bukan sahaja penjual tetapi juga pembeli. - UO




ARTIKEL BERKAITAN :

TOKSIK: 650 nelayan terkesan teruk TOKSIK: 650 nelayan terkesan teruk Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 17, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...