Statut Rom: Kerajaan telah menghakis Majlis Raja-Raja – TMJ



KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu ketika membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

” I was told by His Majesty DYMM Tuanku that the Rulers were never consulted. If this was the case, you have undermined the Majlis Raja-Raja. (Saya dimaklumkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa raja-raja tidak pernah dirujuk. Jika begitu keadaannya, anda telah menghakis Majlis Raja-Raja,” kata Tengku Mahkota Johor itu menerusi Twitter.


Semalam, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak akan sesekali terancam walaupun setelah Malaysia menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Jaminan itu diberikan kenyataan awal Tunku Ismail yang melontarkan kebimbangan Raja-Raja Melayu mungkin tidak lagi relevan selepas Malaysia bersetuju dengan statut berkenaan.


Wisma Putra berkata, kerajaan telah mengkaji secara mendalam semua aspek sebelum membuat keputusan menyertai Statut Rom baru-baru ini.

Keputusan Kabinet berhubung perkara itu, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah sembahmaklum kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.


Tunku Ismail turut mempersoalkan mengapa tergesa-gesa atau perlunya menandatangani perjanjian ini dan apakah manfaatnya kepada negara.

Dengan menandatanganinya, pemerintah tertinggi iaitu Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan tergugat dan boleh diseret ke mahkamah antarabangsa.


Katanya, tindakan yang memberi kesan kepada pemerintah tertinggi harus terlebih dahulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa digubal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


“Siapa yang mendapat faedah? Hanya beberapa kuasa besar. Mengapa mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestine dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka. Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal. Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam.


ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rome dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.


“Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang dan mengambil maklum akan peranan ICC sebagai pelengkap kepada sistem perundangan sedia ada,” kata Wisma Putra.
Antara negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan menyertai Statut Rome adalah seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Spain, Sweden dan United Kingdom.

Sebelum ini, Tunku Ismail mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan kepada kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette







Statut Rom: Kerajaan telah menghakis Majlis Raja-Raja – TMJ Statut Rom: Kerajaan telah menghakis Majlis Raja-Raja – TMJ Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 11, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...