SPR: Tak salah guna kenderaan rasmi kerajaan untuk kempen politik



SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata penggunaan kereta rasmi kerajaan untuk tujuan kempen politik tidak salah berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata, kenderaan rasmi kerajaan yang diperuntukkan kepada seseorang individu boleh digunakan untuk semua tujuan.


Katanya, hanya kereta jabatan atau agensi kerajaan sahaja tidak dibenarkan digunakan dalam kempen politik, termasuk dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan.

“Tidak semestinya (berlaku kesalahan), sebab kita kena lihat siapa punya kereta.


“Kalau penggunaan kenderaan yang dikhaskan untuk kegunaan peribadi, kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.

Katanya, kenderaan yang diperuntukkan kepada individu, termasuk menteri atau anggota exco untuk kegunaan peribadi tidak menimbulkan apa-apa masalah.


“Ada peruntukan, kereta yang disediakan kepada seseorang individu boleh digunakan sebagai rujukan kegunaan peribadi,” katanya, dengan memberi contoh pengunaan aset kerajaan seperti yang berlaku dalam PRK Cameron Highland merupakan satu kesalahan dan tindakan boleh diambil.

Kereta rasmi dipercayai milik kerajaan negeri dilihat berada di lokasi pusat penamaam calon di SJK (C) Bandar Sri Sendayan sempena PRK Rantau, pagi ini.


Tinjauan FMT mendapati kereta berkenaan diletak di tempat parkir berdekatan kawasan penyokong Pakatan Harapan (PH) berkumpul.

Kenderaan berwarna hitam jenis Honda Accord itu kelihatan berada di situ seawal jam 7.45 pagi lengkap dengan gencana rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.


Selain kenderaan terbabit, FMT difahamkan beberapa kenderaan lain milik kerajaan, termasuk kenderaan rasmi timbalan speaker DUN dan seorang anggota Exco turut kelihatan di lokasi sama.

PRK Rantau pada 13 April depan diarah diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan penyandangnya, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan, di kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah.


Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PH Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad dan 3 lagi calon iaitu Streram yang mewakili PH dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin. - FMT

SPR: Tak salah guna kenderaan rasmi kerajaan untuk kempen politik SPR: Tak salah guna kenderaan rasmi kerajaan untuk kempen politik Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 30, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...