Semua ahli Parlimen pembangkang letak jawatan PAC



KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meletakkan keanggotaan berkuatkuasa serta-merta hari ini, atas alasan kerajaan enggan segera melantik pengerusi baru dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

Mereka adalah Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad; Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.


Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, bersama Noraini, Ahmad dan Takiyuddin.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming hari ini yang berkata pengerusi baru hanya akan dilantik selepas kes-kes yang dikendalikan pengerusi sekarang, Ronald Kiandee, selesai.


Namun tempoh kes-kes itu perlu diselesaikan belum atau tidak ditetapkan.

“Kalau diteruskan, pengerusi daripada Pakatan Harapan, timbalan pengerusi juga PH. Ahli Parlimen PH nampaknya lebih ramai dalam PAC,” kata Ismail kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata keadaan itu menyebabkan PH berkuasa sepenuhnya dalam PAC, sedangkan ia perlukan semak dan imbang yang berkesan dalam kes-kes yang dikendalikannya.

“Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi kepada pembangkang,” kata Ismail.


Beliau berkata pembangkang mencadangkan Noraini sebagai pengerusi baru pada 1 Mac lalu namun kerajaan sebaliknya mengekalkan Ronald.

Keputusan pembangkang itu beberapa hari selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan keanggotannya, dipercayai kerana keputusan kerajaan mengekalkan Ronald, yang menyertai PPBM baru-baru ini.


Ismail menggesa kerajaan supaya mengambil serius bantahan ahli-ahli Parlimen termasuk daripada blok pemerintah.

“Kita nampak ini satu penyelewengan daripada janji, walaupun kita tahu janji lain tak ditepati, tapi kita tetap harapkan pengerusi PAC diberikan kepada pembangkang,” katanya.


Sementara itu, Takiyuddin berkata perdana menteri sebenarnya tidak perlu mencari calon pengerusi kerana perkara itu akan diputuskan oleh blok pembangkang.

“Umno pembangkang paling ramai dan mereka ada hak kemuka calon pengerusi PAC,” katanya. - FMT

Semua ahli Parlimen pembangkang letak jawatan PAC Semua ahli Parlimen pembangkang letak jawatan PAC Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 25, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...