SEDIH: Siswa miskin ikat perut



Mengalir air mata membaca berita ini.

Hanya makan sekali sehari.

Terpaksa tahan lapar sebab duit tak cukup dan harga barang mahal.

Itulah nasib siswa-siswi kita hari ini.


Saya masih ingat lagi masa pembentangan Bajet 2019.

Mereka kata apa?

Bajet paling besar dalam sejarah!

Pendidikan terima peruntukan terbesar!


Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik dan Rakyat Sejahtera!

Ya, Bajet 2019 RM314.5 bilion. Tapi ke mana?

Ya, Bajet pendidikan RM60.2 bilion. Tapi diguna untuk apa?

Apa gunanya kalau siswa kita kelaparan?


Apa maknanya kalau kita tidak mampu membeli barangan di bumi sendiri?

Apa perlunya kerajaan jika bukan membela, membantu, meningkatkan kehidupan rakyat?

Bersimpatilah dengan rakyat, wahai Menteri-menteri PH.

Sungguh tidak sangka rakyat kini perlu melutut, merayu, meminta sedekah hari ini dengan Putrajaya. - Najib Razak





Eksklusif: Siswa miskin ikat perut

KUALA LUMPUR: Mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari, antara ikhtiar hidup sebilangan pelajar di Universiti Malaya (UM) yang terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Inilah antara kesempitan hidup dialami pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu yang terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.


Ramai yang mencatu wang saku yang diberi keluarga dengan memilih menu paling menjimatkan daripada membeli makanan di kafe tertentu yang didakwa agak mahal sehingga ada yang terdedah kepada serangan gastrik.

Wartawan BH yang menyelami sendiri kehidupan pelajar terbabit, mendapati pilihan makanan kebanyakan pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) ialah yang berharga murah, termasuk mi segera atau apabila di kampus, membeli ‘nasi bujang’ yang mengandungi nasi putih, sup kosong, telur dan sambal belacan antara RM2 hingga RM2.50.

Pelajar jurusan Bahasa Melayu Profesional di Akademi Pengajian Melayu UM, Ilmah Ismail, 21, dari Kampung Keramat, Semporna, Sabah, berkata kadangkala dia hanya minum air suam dan makan sekali sehari pada waktu malam, untuk menjimatkan belanja.


PENSYARAH MASAK MAKANAN

“Ada juga pensyarah memasak untuk mahasiswa miskin, selain persatuan pelajar sediakan kupon makanan RM5, tetapi bukan semua dapat bantuan itu.

“Saya pula hanya dapat wang saku RM100 sebulan untuk makan dan minum menerusi Projek Biasiswa Tamanni, iaitu inisiatif beberapa pertubuhan bukan kerajaan,” kata anak pekebun ini.


Projek Biasiswa Tamanni adalah hasil inisiatif Persatuan Belia Harmoni Serdang, Yayasan Bunga Raya, Akademi Penokohan Pemuda IKRAM, Yayasan Buruj serta Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Pelajar Fakulti Pergigian UM, Nur Atikah Ghazali, 22, anak pemandu lori dari Bachok, Kelantan, turut mengakui nasi lemak RM1 antara menu utamanya, selain merebus sendiri telur untuk mengisi perut bagi menjimatkan belanja, tambahan pula dia kini terpaksa menyewa kediaman di luar kampus sejajar peraturan universiti.


“Saya bersama sembilan rakan lain terpaksa menyewa pangsapuri dua bilik yang terletak berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) .

“Setiap seorang bayar RM267 sebulan, ini tak termasuk bil elektrik dan air. Sebenarnya, rumah kami ini hanya diduduki empat orang saja seperti ditetapkan pemilik.


“Namun, kami terpaksa tinggal bersesak sembilan orang semata-mata untuk jimatkan belanja dan lagipun, jarak rumah sewa ke kampus hanya berjalan kaki saja,” katanya.

Nur Atikah mengakui dengan pendapatan ayahnya di antara RM500 hingga RM1,000 sebulan adalah sukar untuk menampung kos pengajian dan sara hidupnnya.


“Mujurlah ada bantuan Projek Biasiswa Tamanni kerana jika tidak, mungkin saya sudah berhenti belajar,” katanya yang mempunyai tiga adik yang masih bersekolah.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik, Muhammad Nurfathi Abdul Hamid, 23, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor, berkata, makan sekali sehari bukan perkara asing dan apabila terpaksa mengikat perut, dia lazimnya hanya makan pada waktu malam dengan ‘nasi bujang,’ sebuku roti atau roti naan berharga RM2 sekeping.


“Saya juga selalu cari peluang hadir program, aktiviti atau majlis di dalam dan luar kampus, yang biasanya turut sediakan makanan.

“Kadangkala, saya berpuasa atau tidur awal pada waktu malam untuk lupakan rasa lapar. Sepanjang pengajian, saya tidak boros dan beli barang ikut keperluan sahaja, malah tiada motosikal atau kereta,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, keluarganya cuma bergantung pada bayaran pencen bapanya RM1,200 sebulan, manakala ibu tidak bekerja dan bersyukur kerana menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


KELUARGA TAK MAMPU

Pelajar Perakaunan, Muhamad Aiman Basyir Mohammad, 22, dari Kuantan, Pahang, mengakui dia terpaksa berhutang dengan rakan dan makanan pilihan pula selalunya nasi berlaukkan seekor ikan atau sayur berharga antara RM3 hingga RM4 atau roti canai RM1.

“Dalam seminggu, biasanya tiga hari saya terpaksa berhutang dengan kawan,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik ini, yang bergantung pada baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) RM300 selepas ditolak yuran setiap semester, selain wang saku RM200 kiriman ibu bapanya setiap dua bulan.



“Saya pernah terfikir berhenti belajar dan bekerja, namun rakan banyak memberi dorongan supaya berjaya dalam pelajaran demi mengubah nasib keluarga,” katanya yang bekerja sambilan pada setiap cuti semester.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Izzat Hakimi Abd Halim, 20, pula mendedahkan ada rakannya tidak meneruskan pengajian akibat masalah kewangan, manakala dia sendiri kerap berpuasa dan makan cuma sekali sehari, kerana perlukan purata perbelanjaan RM10 sehari untuk membeli makanan pada waktu tengah hari dan malam. - BH



ARATIKEL BERKAITAN : Anwar arah siasat dakwaan pelajar ‘ikat perut’ era PM7
SEDIH: Siswa miskin ikat perut SEDIH: Siswa miskin ikat perut Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 17, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...