Penduduk tak kenal Streram, tetap pilih Tok Mat



SEREMBAN: Rata-rata pengundi di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Pusat Daerah mengundi (PDM) Rantau di sini tidak mengenali calon PH, Dr S Streram, dan tidak pernah bertemu mata dengan beliau berbanding calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan.

G Seker, 57, yang ditemui FMT berkata, beliau lebih mengenali Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat kerana banyak menabur jasa ketika menjadi menteri besar Negeri Sembilan.


“Saya akan sokong dia (Mohamad). Dia buat banyak perkara di Rantau sebab itu dia mampu pegang 14 tahun sebagai MB,” katanya,

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai Streram dan hanya mengetahui bahawa beliau adalah orang luar Rantau yang bertanding di situ.


“Saya tidak kenal dialah. Dia pun bukan orang sini. Tiada maklumat langsung pasal dia,” katanya.

Bagi Cheng Lee Sha, 55, Mohamad sememangnya menjadi pilihan beliau berbanding Streram.


Katanya, pengundi di sini lebih selesa memilih Mohamad sebagai wakil rakyat mereka berbanding orang luar.

“PRK ini peluang untuk kedua-dua calon menang memang 50-50. Tetapi Tok Mat kat sini dia amat bagus. Dia jaga Rantau sejak jadi wakil rakyat. Kami semua suka sama dia,” katanya.


Pendirian sama disuarakan seorang peniaga di Pekan Rantau, Sia Soon Sang yang berkata, Mohamad mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi itu kerana kelebihan sebagai anak tempatan berbanding calon PH.

“Kedua-duanya akan ada orang sokong. Bagi Tok Mat dia orang tempatan dan bagi calon PH kita tak kenal,” katanya.


Untuk rekod, PDM Rantau adalah salah satu daripada 14 pusat daerah mengundi di DUN Rantau.

Ia dilihat sebagai kubu kuat PH kerana pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas, Khairy Jamaluddin yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau kalah di tangan calon PH, Roseli Abdul Gani dengan perbezaan 336 undi di PDM ini.


DUN Rantau berada bawah Parlimen Rembau.

Seorang lagi penduduk tempatan, Halim Othman ketika ditemui berkata, sikap ringan tulang dan keperibadian baik Mohamad tidak ada pada individu lain.


Katanya, sejak menjadi wakil rakyat pada 2004 Mohamad tidak pernah menolak permohonan penduduk untuk mendapatkan bantuan.

“Tok Mat ni, apa-apa penduduk nak dia bagi. Dia mudah beri bantuan, baik bantuan kematian, pelajaran, kenduri, kerosakan rumah semua dia tolong. Kalau ada masalah jumpa dia, tidak pernah tidak selesai.


“Tok Mat saya tengok, kalau dia bantu orang, tidak pilih kaum atau warna kulit. Semua bangsa dia tolong,” kata Halim.

“Pengundi di sini masih bersama Tok Mat. Lepas pilihan raya umum sokongan makin naik, saya rasa cecah 80%. Baik Melayu, Cina dan India semua kembali sokong Tok Mat,” katanya, yang merupakan bekas tentera dan tidak menganggotai mana-mana parti politik.


Ketika ditanya adakah pendakwaan mahkamah yang dihadapi bekas perdana menteri, Najib Razak akan merencatkan sokongan kepada BN, Halim berkata, isu itu tidak memberi kesan besar kepada penduduk Rantau.

“Isu melibatkan Najib kami tidak terkesan sangat, kerana ‘aura’ Tok Mat lebih kuat. Lagi pun dia tidak ada rekod buruk ketika menjadi menteri besar dulu. Rasuah tidak ada, rompak duit pun tidak ada.”


Bagi Yeng Seng Sang, Mohamad tidak pernah memilih kaum dalam memberi bantuan.

“Semasa BN memerintah, warga emas macam saya diberi bantuan bulanan RM300 sebulan, sekarang bila PH menang tidak ada lagi.


“Bukan sahaja tak bantu, orang di pekan Rantau ini juga tidak pernah jumpa dan tidak kenal siapa menteri besar sekarang. Salon PH lagi kami tidak kenal, macam mana nak undi,” katanya, dengan menambah Mohamad juga menyediakan bantuan RM200 sebulan kepada penoreh getah ketika musim tengkujuh dari Oktober hingga Disember setiap tahun.

Dalam pada itu, seorang perniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mei berkata, pengundi, khususnya bukan Melayu, kini kembali menyokong BN kerana berasa tertipu dengan janji PH.


“Saya dulu sokong PH juga, tapi lepas mereka menang banyak janji dia tak buat. Sekarang ramai menyesal dan saya tengok ada yang kembali sokong BN kerana rasa tertipu.

“Dulu BN ada juga masalah, tetapi rakyat dia bantu, PH lagi teruk.


Kalla, seorang lagi perniaga yang ditemui FMT di Pekan Rantau berkata, beliau menerima siapa sahaja yang akan dipilih sebagai wakil rakyat pada 13 April nanti.

“Saya tidak ada masalah siapa menang. Paling penting mereka jaga keamanan negara, jangan gaduh-gaduh,” katanya.


Peniaga Ang Bun berkata, beliau sependapat dengan Kalla dan akan menerima terima siapa sahaja yang dipilih kelak.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap calon yang menang dapat menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di pekan itu.


“Kalau ada kereta berhenti, beli barang, jalan sudah sesak. Saya harap siapa menang dapat besarkan jalan di sini,” katanya.

Bagi peniaga apam balik, Kamaruddin Mohamad, keadaan ekonomi bawah kerajaan PH kini semakin buruk.


Katanya, sejak GST dihapuskan, kos barang untuk perniagaan beliau meningkat sehingga 30%.

“Dulu jagung satu tin RM2.20, sekarang bila SST naik jadi RM 2.75. Tepung kalau nak dapat harga bawah RM2 sekilo, sudah tidak ada. Orang yang nak beli makanan di luar juga kurang.


“Dulu saya buat apam balik, kalau hari minggu tak menang tangan. Sekarang biasa sahaja, tidak semeriah dulu. Mungkin orang fikir harga makin mahal, jadi mereka tidak membeli di luar,” katanya.

Mohamad, yang juga timbalan presiden Umno, mempertahankan kerusi DUN Rantau buat kali ke-4 selepas memenanginya sejak 2004.


Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum lepas tanpa bertanding apabila Streram yang juga merupakan calon PH ketika itu dilarang memasuki pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.


11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya adalah pengundi Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% India.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin. - FMT



Cheng Lee Sha.



Halim Othman berkata, Mohamad tidak pernah menolak permintaan rakyat.



Yeng Seng Sang berkata, Mohamad tidak memilih kaum untuk membantu.



Kalla akan menerima mana-mana parti untuk mewakili DUN Rantau.




Peniaga apam balik Kamaruddin Mohamad berkata, keadaan ekonomi semakin buruk di bawah PH.

Penduduk tak kenal Streram, tetap pilih Tok Mat Penduduk tak kenal Streram, tetap pilih Tok Mat Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 31, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...