Mukhriz cabar Umno-Pas tubuh kerajaan Perpaduan di Kelantan, T'ganu



ALOR SETAR 13 Mac - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar UMNO dan Pas supaya melaksanakan terlebih dahulu konsep kerajaan Perpaduan di Kelantan dan Terengganu, bagi membuktikan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu sudah tentu tidak akan menimbulkan sebarang masalah bagi UMNO dan Pas kerana kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri itu dikuasai oleh mereka sahaja, kecuali DUN Ayer Lanas di Kelantan.


Tambah beliau, dengan berjayanya penubuhan kerajaan Perpaduan yang hampir sifar pembangkang di Kelantan dan Terengganu, maka Pas dan UMNO akan dapat membuktikan kematangan politik era baharu yang uar-uarkan itu.

"Maka, akan terkedulah kami atas kejayaan UMNO dan Pas itu. Kedudukan saya sendiri sebagai Menteri Besar yang digambarkan umpama telur di hujung tanduk, akan terjejas akibat kehilangan kepercayaan wakil-wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH) terhadap saya kerana ingin menuruti pendekatan penuh 'bijaksana' politik UMNO dan Pas itu.


"Mana tidaknya, kekuatan DAP sangat luar biasa kerana dengan hanya dua kerusi DUN, mereka dapat menguasai seluruh kerajaan Kedah. Dua wakil DAP itu akan menolak saya sebagai Menteri Besar untuk memberi laluan kepada Pas bagi menubuhkan kerajaan baharu yang diwakili oleh 15 orang wakil Pas, UMNO (dua) dan tujuh PKR (termasuk empat bukan Melayu).

"Pembangkang pula akan dianggotai oleh enam orang ADUN Bersatu, Amanah (tiga) dan DAP (dua). Mungkin perlu diperjelaskan bagaimana kerajaan campuran Perpaduan Melayu yang mereka idamkan di Kedah tidak dianggotai sepenuhnya oleh ADUN-ADUN Melayu, manakala kesemua ADUN pembangkang pula adalah Melayu kecuali di dua DUN," sindir Mukhriz dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Mohd. Nor yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri memberi gambaran bahawa Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP bakal melakukan undi tidak percaya kepada Mukhriz.

Katanya, jika situasi tersebut terjadi, mungkin Mukhriz yang juga Pengerusi Bersatu negeri itu akan mula memahami erti kerajaan Perpaduan dengan meminta pertolongan UMNO dan Pas bagi membentuk kerajaan negeri.


Terdahulu, Mukhriz turut menyindir UMNO kerana ‘bermurah hati’ menyerahkan Kedah kepada Pas melalui penubuhan sebuah kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Mukhriz seterusnya berkata, hakikatnya, cadangan pendek akal oleh Muhammad Sanusi itu tidak boleh diterima oleh rakyat kerana logiknya lemah dan kewibawaan pemimpin-pemimpin Pas sendiri diragui setelah terdedahnya kes sogokan RM90 juta daripada UMNO,.


Beliau sehubungan itu secara sinis berterima-kasih kepada Muhammad Sanusi yang memperjelaskan konsep kerajaan Perpaduan yang hangat diperkatakan ketika ini. - UO



ARTIKEL BERKAITAN :
Mukhriz cabar Umno-Pas tubuh kerajaan Perpaduan di Kelantan, T'ganu Mukhriz cabar Umno-Pas tubuh kerajaan Perpaduan di Kelantan, T'ganu Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 13, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...