Mat Sabu harap lebih ramai Cina sertai tentera



Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata angkatan tentera tidak mengamalkan diskriminasi dan mana-mana anggotanya yang menunjukkan prestasi yang baik akan mendapat ganjaran setimpal.

Bercakap dalam dialog bersama Sinar Harian, Mohamad setuju dengan pengacara Johan Jaafar bahawa kurangnya keanggotaan dari kalangan bukan Melayu dalam angkatan tentera.


"Kita terus kempen. Kita tahu kebelakangan ini agak tinggi yang sertai terutama di kalangan keturunan India, tetapi di kalangan keturunan Tiong Hua (saya) harap lagi ramai akan sertai (tentera).

Katanya, anggota yang berdisiplin dan gigih akan maju dalam kerjaya tenteranya dan beliau melihat sendiri perkara itu sejak mengetuai kementerian itu.


"Tiap-tiap bulan dalam mesyuarat saya lihat kenaikan pangkat berlaku dalam semua kaum.

"Saya harap semua dapat sertai ATM...Tanggungjawab keselamatan bukan (digalas) satu kaum sahaja, ia untuk rakyat Malaysia." katanya lagi.


Berkenaan beberapa cabaran yang dihadapi tentera, Mohamad berkata perumahan merupakan isu besar bagi anggota dan usaha untuk menambah baik keadaan itu sedang berjalan.

Beliau setuju dengan Johan bahawa kerajaan persekutuan pada masa ini berdepan kekangan belanjawan namun berkata lebih banyak dana akan diberikan apabil keadaan ekonomi bertambah baik.


"Baru-baru ini kabinet diberi taklimat oleh menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkenaan berhubung pelaburan asing yang kian meningkat. Kami berharap ekonomi akan bertambah baik untuk beberapa tahun akan datang dan (maka) dana untuk tentera, termasuk perumahan, akan bertambah," katanya lagi.

Johan kemudian berkata trak tentera masih digunakan untuk menghantar anak-anak tentera ke sekolah dan bertanya apa yang boleh dilakukan oleh Mohamad berkenaannya.


Mohamad mengakui ia masih berlaku di sesetengah kawasan. "Kami akan menambah baik dari masa ke masa dan (membekalkan) kenderaan yang lebih sesuai (kepada anak-anak itu)."

Beliau memaklumkan perbelanjaan tentera Malaysia adalah "sederhana" berbanding banyak negara lain dan ia akan ditambah pada masa depan apabila negara mampu melakukannya.


Beliau bagaimanapun berkata tentera sentiasa bersedia walaupun negara dalam keadaan aman.

Mengulas soal politik, Mohamad setuju dengan kenyataan Johan bahawa Pakatan Harapan (PH) kini dalam keadaan bertahan. Beliau bagaimanapun yakin PH akan dapat keluar daripada keadaan itu tak lama lagi.


Semasa menjadi timbalan presiden PAS, katanya, beliau tidak diberitahu tentang usaha sesetengah pemimpin parti untuk mengadakan kerjasama dengan Umno.

Katanya, pada 1970-an PAS mengadakan mesyuarat perwakilan kebangsaan khas untuk membincangkan cadangan menyertai BN, dan perbincangan sama diadakan sebelum ia bekerjasama dengan Semangat 46 dan Barisan Alternatif pada 1990-an.


"Paling sukar adalah bekerjasama dengan DAP (pada 2008). Sesetengah ulama setuju, ada yang tidak. Kami adakan perbincagan, buat retreat. Akhirnya keputusan dibuat. Kami membuat tahaluf dengan DAP.

"Apa yang membingunkan saya adalah dengan Umno, mengapa mereka buat di belakang?" soalnya.


Untuk rekod, Mohamad merupakan salah seorang daripada ramai pemimpin dan anggota PAS yang keluar parti pada 2015 untuk menubuhkan Amanah yang kini merupakan salah satu parti pemerintah. - MK

Mat Sabu harap lebih ramai Cina sertai tentera Mat Sabu harap lebih ramai Cina sertai tentera Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 09, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...