LOMPAT: Warisan tambah lagi satu kerusi



KOTA KINABALU: Setelah 34 tahun bersama Parti Bersatu Sabah, Adun Tandek, Anita Baranting meninggalkan parti itu hari ini untuk menyertai Warisan.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Wanita PBS yang disandangnya selama dua penggal.


Anita menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden Warisan, Shafie Apdal dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri dua Naib Presidennya, Jaujan Sambakong dan Peter Anthony.

Bersama Anita menyerahkan borang keahlian kepada Warisan ialah Skuad Tandek yang merupakan jentera pilihan raya umum ke-14 bagi kawasan Tandek, terdiri daripada 50 pemimpin masyarakat, termasuk PBS, Umno, MCA dan Gerakan.


Bercakap dalam sidang media, Anita berkata, keputusan menyertai Warisan diambil selepas hampir 6 bulan melihat hala tuju serta penerimaan rakyat Sabah terhadap parti itu dalam menerajui kepimpinan negeri.

Anita yang merupakan pemimpin tertinggi PBS pertama keluar parti berkata, keputusannya menyertai Warisan dibuat atas kerelaan sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.


“Kami mengambil keputusan menyertai Warisan kerana mahu meneruskan khidmat membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan di Sabah supaya rakyat, khususnya di kawasan saya dapat menikmati pembangunan berterusan.

“Atas dasar peduli rakyat, kami bersedia mengerahkan tenaga dan kemampuan menyatupadukan rakyat supaya kewujudan parti tempatan ini terus relevan di hati rakyat.”


Anita berkata, beliau tidak perlu menghantar surat peletakan jawatan kepada kepimpinan tertinggi PBS kerana dalam perlembagaan parti itu, mana-mana pemimpin menyertai parti lain secara automatik terbatal keahlian mereka.

Sementara itu, Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata, pemimpin Warisan, termasuk Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), DAP dan PKR di Tandek perlu memberi sokongan penuh kepada Anita dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.


Katanya, semua pemimpin parti itu diingatkan tidak terlalu berpolitik, sebaliknya perlu terus bersatu padu memacu hala tuju pembangunan negeri di bawah pentadbiran Warisan ke tahap lebih tinggi demi kepentingan rakyat.

Penyertaan Anita ke dalam Warisan menjadikan 9 Adun BN menyertai parti itu setakat ini. - FMT

LOMPAT: Warisan tambah lagi satu kerusi LOMPAT: Warisan tambah lagi satu kerusi Reviewed by Abu Leman Abu Seman on March 06, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...