SPRM sahkan tiada RM90j dana 1MDB masuk akaun rasmi PAS



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi PAS.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull pada sidang media di Terengganu, hari ini.


"Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan duit 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) PAS," katanya ringkas ketika menjawab soalan mengenai isu tersebut.

Terdahulu, Mohd Shukri ke Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.


Pada 12 Februari lalu Malaysiakini memetik sumber SPRM melaporkan pihak berkuasa itu mendapati tiada dana dari 1MDB disalurkan ke akaun bank PAS. 

Penemuan itu dibuat selepas penyiasat SPRM meneliti akaun bank PAS dalam siasatan ke atas dakwaan yang mengatakan pemimpin parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.


"Tiada kemasukan wang RM90 juta dari 1MDB ke akaun (rasmi) PAS," kata pegawai yang rapat dengan siasatan kes berkenaan.

Sumber juga mengesahkan bahawa akaun yang diteliti adalah akaun yang didaftar di bawah nama parti dan bukannya akaun peribadi pemimpin PAS.


SPRM dalam kenyataan medianya sebelum ini mengesahkan pihaknya memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan selepas menerima laporan.

Laporan itu, yang menurut SPRM dilaporkan oleh orang awam, dibuat selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersetuju untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung kes saman fitnah ke atas Sarawak Report.


Saman berkenaan berhubung laporan portal Sarawak Report pada 2016 yang mendakwa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan kepada parti berkenaan.

Sejak siasatan bermula, SPRM dilaporkan telah merakam keterangan daripada beberapa pemimpin PAS termasuk Anggota Jawatankuasa Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga dan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa. - MK

SPRM sahkan tiada RM90j dana 1MDB masuk akaun rasmi PAS SPRM sahkan tiada RM90j dana 1MDB masuk akaun rasmi PAS Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 24, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...