‘Saya tak pernah batal projek Dr. Mahathir’



LANGKAWI 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak pernah membatalkan projek-projek di bawah pemerintahan Perdana Menteri terdahulu sepanjang sembilan tahun memegang jawatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau malahan cuba menambah baik lagi projek atau pembangunan sedia ada kerana semangat tersebutlah yang sepatutnya dipegang oleh kerajaan.

“Saya tak pernah batalkan projek (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad)... LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) itu pun saya teruskan.

“Inilah semangat kita, kita tak boleh batalkan orang dahulu buat (tapi), kita buat lebih baik daripada dahulu,” katanya semasa berucap dalam Majlis Santai UMNO dan Pas di Wisma UMNO Bahagian Langkawi di sini, malam tadi.


Tambah Najib, beliau juga tidak pernah menafikan jasa Dr. Mahathir dalam membangunkan Pulau Langkawi.

“Saya tak nafikan apa Che Det (Dr. Mahathir) buat untuk Langkawi, jadi apabila saya jadi Perdana Menteri saya bawa ke peringkat lebih tinggi lagi dan kalau ada Perdana Menteri lain nanti (patut) bawa ke peringkat lebih tinggi juga,” ujarnya.

Beliau dalam ucapan itu turut berkongsi beberapa projek pembangunan yang diluluskannya ketika menjadi Perdana Menteri iaitu antaranya kelulusan tambahan 300 katil di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan rumah kos rendah berjumlah 1,000 unit.

“Saya bangunkan juga projek kabel dasar laut kepada penduduk Pulau Tuba yang berharga RM50 juta bagi mengatasi gangguan elektrik di situ, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebanyak RM89 juta dan RM600 juta untuk loji air.


“Bukan sekarang nak batal segala-galanya, batal-batal ini siapa pun boleh buat.. tiada masalah,” katanya dipercayai merujuk kepada beberapa projek mega negara yang masih menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Najib turut berkongsi kekecewaan pemandu teksi di pulau pelancongan itu terhadap isu grab atau e-hailing yang dijanjikan akan dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Grab ini menyebabkan orang teksi nak dapat RM60 sehari pun susah, kerja dari pagi sampai malam kena potong itu potong ini. Grab tak ada apa peraturan, depa (mereka) pakai selipar, kain pelikat pun boleh bawa kereta.

“Sampai hari ini tak boleh buat (mansuh), kalau tak boleh haramkan Grab sekurang-kurangnya letak ia setara dengan teksi, kalau teksi kena PSV, Grab pun kena ada PSV dan kalau teksi ada insuran, Grab pun sama supaya keadilan kepada pemandu teksi di Langkawi dan tempat-tempat lain,” katanya. - UO
‘Saya tak pernah batal projek Dr. Mahathir’ ‘Saya tak pernah batal projek Dr. Mahathir’ Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 06, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...