ROKOK: KERAjaan akan perkenal pembungkusan kosong



PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mempertimbangkan langkah memperkenalkan pembungkusan kosong untuk rokok seperti di Australia dan Thailand serta bakal dilaksanakan di Singapura tidak lama lagi, lebih sebulan selepas larangan merokok dikuatkuasakan di kedai makan seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pembungkusan kosong sebahagian daripada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disertai Malaysia pada 2005.

“Ini sudah dilakukan di negara seperti Australia dan hasilnya boleh dilihat,” katanya kepada FMT.

Menurut laman web WHO, terdapat sokongan kuat terhadap penggunaan pembungkusan kosong ini.



Laman itu memetik kajian di United Kingdom dan Ireland yang merumuskan bungkusan kosong mengurangkan tarikan kepada produk tembakau, mengehadkan pembungkusan yang mengelirukan dan meningkatkan keberkesanan amaran kesihatan.

Lee ditanya sama ada Malaysia berhasrat mengikut langkah Singapura meluluskan pindaan undang-undang kawalan tembakau pada minggu ini melalui pembungkusan kosong.

Straits Times Singapura melaporkan undang-undang itu akan mengharamkan penggunaan logo, warna, imej dan maklumat promosi lain berhubung sebarang jenama tembakau.

Nama jenama dan produk akan ditunjukkan dalam gaya serta warna fon yang standard, dengan grafik amaran kesihatan terdiri daripada 75% permukaan kotak.



Lee menyedari pemain industri dan peniaga akan membantah usaha itu.

“Mereka akan beri alasan seperti kos pelaksanaan dan bagaimana ia akan menjejaskan perniagaan mereka atau hak harta intelek syarikat tembakau.

“Kita mempertimbangkannya. Tiada masa ditetapkan. Kita perlu kaji dan bincang dengan pihak berkepentingan.”

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menyokong usaha itu, tetapi menyuarakan beberapa kebimbangan yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, ini termasuk keperluan menggubal undang-undang baru dan spesifik bagi memastikan perkara berkaitan pembungkusan kosong itu jelas dari segi hak harta intelek.

“Terdapat kebimbangan pihak pengusaha mengenai kesan tindakan itu terhadap tanda dagangan mereka.

“Isu dan kebimbangan mereka perlu didengari dan ditangani,” katanya.

Beliau berkata, langkah memperkenalkan pembungkusan kosong tidak boleh dilakukan secara paksaan, sebaliknya rundingan dan ketelusan perlu menjadi pertimbangan utama.



Azrul memberi amaran pembungkusan kosong boleh mendorong perokok memilih produk tembakau lebih murah yang mungkin boleh meningkatkan kadar merokok.

“Ia boleh meningkatkan kecenderungan memilih produk tembakau haram yang mungkin paling murah,” katanya sambil manambah kerajaan mesti bersedia meningkatkan penguatkuasaan untuk membasmi rokok haram.

Beliau berkta, sebarang tindakan memperkenalkan pembungkusan kosong perlu seiring peningkatan promosi program mQuit Kementerian Kesihatan yang terbukti berkesan dalam membantu perokok membuang tabiat tersebut.

“Perlu ada usaha penyelarasan untuk memastikan perokok yang mahu membuang tabiat itu boleh mendapat sokongan dan rawatan, bukan bergantung kepada hukuman,” katanya. - FMT




ROKOK: KERAjaan akan perkenal pembungkusan kosong ROKOK: KERAjaan akan perkenal pembungkusan kosong Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 13, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...