PH tak dengar nasihat Najib, unjuran Petronas kini negatif



KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal apabila syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody's Investors Service menjatuhkan unjuran penarafan Petronas kepada negatif daripada stabil pada bulan November lalu.

Menurutnya, selepas bertukar kerajaan, PH mengumumkan mereka akan ambil dana RM82 bilion daripada Petronas untuk tahun 2018 dan tahun ini.

Dalam entri Facebooknya, Najib berkata, kerajaan BN di bawah pimpinan beliau telah meninggalkan rizab tunai yang besar dalam Petronas kepada kerajaan PH.

“Rizab tunai Petronas meningkat kepada hampir RM180 bilion pada akhir Jun 2018 berbanding RM128.2 bilion pada tiga bulan lalu iaitu pada penghujung 2017. Peningkatan ini berikutan harga minyak yang memberangsangkan selain dari penerimaan bayaran dari pelaburan Aramco Saudi bagi projek Rapid Pengerang.

“Rizab tunai Petronas masa PH mengambil alih kerajaan adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun 2008 semasa saya mula bertugas sebagai menteri kewangan.

“Pada ketika pentadbiran saya, saya amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan kerana saya mahu memastikan mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia,” katanya.


Susulan itu, Najib berkata, hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).

Katanya, pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.

“Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia bagi jangka masa panjang. Kita melabur untuk memastikan manfaat bagi jangka masa panjang.

“Kerajaan PH baru-baru ini telah menyatakan pemansuhan GST akan dibiayai dengan meminta Petronas, Khazanah dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan. Bagaimanapun pendekatan ini adalah rapuh dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek.

“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan,” jelasnya.

Sebelum ini Berita Harian melaporkan, Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan terbitan domestik dan mata wang asing tidak bercagar kanan Petronas pada A1, namun mengubah tinjauan daripada stabil kepada negatif. - SH

PH tak dengar nasihat Najib, unjuran Petronas kini negatif PH tak dengar nasihat Najib, unjuran Petronas kini negatif Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 03, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...