Penduduk buntu diarah kosongkan rumah PPR dalam tempoh seminggu



PULAU PINANG 28 Feb. - Kira-kira 22 buah keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di sini buntu memikirkan nasib mereka selepas diarahkan keluar dari rumah masing-masing.

Malah, mereka kini hanya mempunyai tempoh sehingga Rabu depan untuk mengosongkan rumah masing-masing atau berdepan tindakan rumah disita seperti dialami mereka semalam.


Difahamkan, kesemua mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Notis pengosongan kepada penduduk terlibat juga sudah dikeluarkan kerajaan negeri pada Oktober lalu namun disebabkan enggan berpindah, rumah mereka disita antara pukul 10.30 pagi hingga 2 petang semalam.


Akibatnya, penduduk terlibat menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendesak campur tangan segera kerajaan negeri sebelum rumah mereka yang disita dibuka semula kira-kira pukul 11 malam tadi.

Apa yang dikesalkan penduduk juga apabila surat rayuan mereka kepada kerajaan negeri langsung tidak mendapat maklum balas sebaliknya mereka diberikan notis pengosongan serta-merta pada Jumaat lalu.


Seorang penduduk terlibat, Mohd. Kadim Kutnan, 51, berkata, dia terkilan kerana rayuannya untuk kekal di rumah itu tidak dipedulikan kerajaan negeri dengan alasan berkahwin dengan warga asing.

Sedangkan, katanya, dia sekeluarga sudah mendapat taraf kerakyatan apatah lagi lapan anak-anaknya juga sudah bersekolah di negara ini.


"Saya pula hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan harian dan tidak menentu, sebab itu saya merayu supaya boleh terus menyewa di sini kerana keluarga kami bukan orang senang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi Zainal Abidin K. Maideen, 45, pula, dia juga merayu supaya kerajaan negeri mempertimbang untuk membenarkannya terus tinggal di PPR berkenaan kerana tidak mampu menyewa di rumah lain.


Katanya, pendapatannya sebagai kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlalu kecil apatah lagi dia perlu menanggung isteri dan ibunya berusia 80 tahun yang turut menghidap pelbagai penyakit.

Turut berdepan masalah sama ialah Teoh Khoo Beng, 65, yang kini tidak lagi mampu menjalankan perniagaan kecil-kecilannya kerana menghadapi masalah kesihatan.


Dalam masa sama, katanya, dia juga perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang masih belajar sekali gus berharap dapat terus tinggal di PPR itu sekali gus dapat mengurangkan beban hidup mereka sekeluarga.

"Anak-anak saya semua masih belajar dan saya perlu menanggung keluarga sedangkan sekarang saya tidak mampu bekerja.


"Jika saya terpaksa keluar dari rumah PPR ini, ke mana harus saya pergi sedangkan saya tidak mampu untuk menyewa rumah lain apatah lagi di kawasan pulau," katanya. - UTUSAN ONLINE

Penduduk buntu diarah kosongkan rumah PPR dalam tempoh seminggu Penduduk buntu diarah kosongkan rumah PPR dalam tempoh seminggu Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 28, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...