MyBSH: Dah macam budak sekolah pula beri RM100 sahaja



ALOR SETAR 20 Feb. - "Ramai orang muda kata depa (mereka) dah sama macam budak sekolah apabila jumlah Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan hanya RM100 berbanding RM450 ketika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini".

Itu antara luahan yang diterima Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), dekat sini sebaik sahaja Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian BSH tersebut bagi kategori bujang, semalam.

Yang Dipertua Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, kebanyakan penerima BSH kategori bujang adalah mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan hanya bekerja biasa termasuk kerja-kerja kampung.

"Ramai juga yang merungut apabila Kementerian Kewangan maklumkan akan beri RM100, kalau betul nak bagi apa salahnya kekalkan sahaja jumlah sama seperti sebelum ini (BR1M) atau pun paling kurang RM300 supaya ada perbezaan sikit dengan pelajar yang menerima bantuan persekolahan.

"Jika hanya beri RM100, kita tidak nampak yang kerajaan bersedia untuk memberikan BSH kepada penerima-penerima ini, sebaliknya seperti ada kaitan politik memandangkan sokongan orang muda kepada mereka kini semakin berkurangan disebabkan beberapa isu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang akan menyampaikan BSH kategori bujang kepada lebih tiga juta individu dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta seperti yang diumumkan Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, jumlah bantuan yang diperuntukkan itu tidak memadai sekiranya dibandingkan dengan kos sara hidup yang tinggi pada hari ini.

"Cake berpendapat BSH sebanyak RM100 merupakan satu langkah yang tidak tepat. Malah, kami juga mendapati ramai pengguna yang mengkritik bantuan ini, atas dasar apa sebenarnya BSH ini diberikan.

"Sekiranya ia adalah satu bentuk subsidi bersasar memang baik untuk rakyat dan pengguna kerana mereka dapat menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan harian tetapi jika hanya RM100, ia hanya mengurangkan sedikit sahaja bebanan pengguna," katanya. - UO
MyBSH: Dah macam budak sekolah pula beri RM100 sahaja MyBSH: Dah macam budak sekolah pula beri RM100 sahaja Reviewed by Abu Leman Abu Seman on February 20, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...