Sultan Abdullah lafaz sumpah YDP Agong ke-16



KUALA LUMPUR: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.



Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) oleh dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah,  Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.



Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.


Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara ini. 

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Abdullah ke Istana Negara selepas istiadat keberangkatan tiba di Dataran Parlimen diiringi kenderaan pengiring diraja.



Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mej Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama, Istana Negara.

Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu Negaraku.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Datuk Paduka Maharaja Lela Mej Jen (B) Datuk Mamat Ariffin dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. 



Sultan Abdullah diiringi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri ke Balairung Seri bagi istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan diikuti perisytiharan memegang jawatan.

Usai istiadat berkenaan, Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berkenan bergambar bersama-sama dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim Syarie Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Peguam Negara Tommy Thomas, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. Vigneswaran dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar pada Istiadat Sembah Kenal. - BERNAMA
Sultan Abdullah lafaz sumpah YDP Agong ke-16 Sultan Abdullah lafaz sumpah YDP Agong ke-16 Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 31, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...