Peniaga pasar di Jelai keluh hasil jualan menurun



Peniaga pasar di sekitar Felda Sungai Koyan, Jelai di Cameron Highlands mengeluh dengan hasil perndapatan yang terjejas akhir-akhir ini. 

Peniaga mengaitkan perkara itu dengan sikap pelanggan yang semakin berjimat-cermat dalam berbelanja susulan harga kelapa sawit yang kian merudum.

Tinjauan terhadap beberapa peniaga di pasar pagi Felda Sungai Koyan merungut hasil jualan mereka semakin merosot.

Salah seorang peniaga makanan kering di situ, Mohd Azizuddin Mohd Rusli, 47, menjelaskan hasil jualannya yang sebelum ini sekitar RM500 sehari merudum sehingga RM150.

Mohd Aizuddin berkata, sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, pelanggannya yang kira-kira 80 peratus terdiri daripada warga peneroka Felda berbelanja lebih banyak.

Namun, sejak mereka memilih untuk berjimat-cermat, Aizuddin berkata dia terpaksa menurunkan harga jualannya.

"Kalau nak tebus balik pendapatan bulanan saya (seperti sebelum ini), saya terpaksa berniaga dekat pasar di Raub, Pahang. Dulu lepas berniaga di Felda Sungai Koyan, pergi berkebun saja tapi sekarang tak cukup.

"Makan luar pun dah kurang. Berjimat masak di rumah. Kalau nak keluar bandar tiap-tiap minggu tu dah tak ada," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Keluhan sama dikongsi peniaga makanan Ahloha Moharram, 38, yang berkata dia kadang-kadang terpaksa mengikat perut memandangkan empat daripada lima orang anaknya masih bersekolah.


"Beli barangan dapur tu dah kurang, sebab kalau pergi sana (pasar) dengan anak ramai, anak mesti nak minta macam-macam.

"Saya nak pergi beli barang dapur pun dah tak ke Kuala Lipis sebab kos minyak nak ke sana makan RM20 dah," katanya.

Kuala Lipis merupakan bandar yang berdekatan dengan Felda Sungai Koyan, dengan jarak antara dua tempat itu kira-kira 40 kilometer.


Cari alternatif lain jana pendapatan

Kakak kepada Ahloha pula, Azlina Moharram yang berniaga kuih-muih berkata untuk menampung perbelanjaan bulanannya, dia terpaksa membuka tempahan kepada orang ramai tanpa mengharapkan jualan di pasar semata-mata.

Katanya, sebagai keluarga generasi kedua Felda, mereka adik-beradik tidak mengharapkan pendapatan bulanan dari Felda seperti sesetengah daripada generasi kedua yang lain.

Tambahnya, warga Felda yang datang membeli di situ kebanyakannya adalah orang muda iaitu generasi kedua dan bukannya generasi pertama.

"Macam-macam cara nak tambah pendapatan. Orang tua jarang datang beli, yang beli generasi kedua," katanya yang enggan menuding jari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung jualan yang merosot.

Azlina berkata, sebagai kerajaan yang baru mentadbir kurang daripada setahun, berbanding enam dekad pentadbiran kerajaan sebelumnya, PH perlu diberi peluang untuk menyelesaikan masalah kewangan Felda.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebelum ini memaklumkan bahawa kertas putih akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat berhubung pengurusan dan hutang yang ditanggung Felda ketika ini.


Sementara itu, peniaga piza Wan Ariff Wan Hassan yang berhijrah dari Gua Musang, Kelantan ke Jelai sejak 2015 berkata jualannya menurun sehingga 20 peratus. 

Namun, Jelas Wan Ariff, keadaannya itu tidak "seteruk" rakannya yang lain yang menjaja di situ.

"Ini berniaga saya buat sepenuh masa. Saya tak jual makanan yang sama macam orang lain seperti nasi. (Tapi mereka) sampai terpaksa korek duit simpanan nak tampung balik kos berniaga.

"Tapi saya kalau keadaan semakin teruk saya akan buat sambilan pekerjaan lain," kata lelaki berusia 40 tahun itu.

Jelai merupakan salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Cameron Highlands yang mempunyai 12,543 pengundi yang terdiri daripada 64 peratus Melayu, 1 peratus Cina, 1 peratus India dan 34 peratus lain-lain. 

Adun Jelasi merupakan wakil rakyat dari BN, yang juga Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Penduduk Melayu di kawasan itu dijangka memainkan faktor penting dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan ini. - MK
Peniaga pasar di Jelai keluh hasil jualan menurun Peniaga pasar di Jelai keluh hasil jualan menurun Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 18, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...