PAS ikrar bantu BN di PRK Cameron Highlands



PAS akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penyelaras bagi membantu calon pembangkang dari BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari nanti.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

"Insya-Allah. Parti akan tubuh jawatankuasa penyelaras bagi membantu pembangkang dalam PRK itu nanti," katanya ketika ditanya sama ada parti itu akan turun membantu kempen BN atau sebaliknya.

Terdahulu, PAS membuat keputusan untuk tidak bertanding dpada PRK Cameron Highland, tetapi sebaliknya akan memberi sokongan kepada calon pembangkang lain.

Cameron Highlands merupakan kerusi tradisional MIC yang dimenangi sejak 2004. Pada PRU ke-14 Naib Presiden MIC C Sivarraajh mengalahkan M Manogaran dengan majoriti tipis 567 undi.


Calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud pula mendapat 3,587 undi.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan BN di Cameron Highlands pada PRU14 terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

MIC tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu tetapi mahu "membuat rayuan kepada rakyat" pada PRK nanti.

Hari ini, BN mengumumkan calonnya iaitu bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor yang juga Orang Asli dari suku Semai untuk berdepan calon Pakatan Harapan, M Manogaran.

Pada majlis pengumuman oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan di ibu negara itu turut dihadiri beberapa pimpinan PAS.


Semalam PAS melalui setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu akan membuat keputusan sama untuk turun berkempen atau tidak sempena PRK Cameron Highlands selepas proses penamaan calon selesai pada 12 Januari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan melihat dahulu perkembangan PRK itu termasuk siapa calon yang mewakili parti pembangkang.

Sebelum ini PAS bekerjasama dengan Umno dalam menghadapi PRK antaranya di Balakong dan Seri Setia.
PAS ikrar bantu BN di PRK Cameron Highlands PAS ikrar bantu BN di PRK Cameron Highlands Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 10, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...