Melaka: Tanah terbiar akan dikenakan cukai lebih tinggi




Kerajaan Negeri Melaka sedang mengkaji dan meneliti pelaksanaan kadar cukai yang lebih tinggi bagi tanah terbiar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata langkah itu bertujuan memastikan tanah terbiar melibatkan tanah pertanian, perindustrian atau perumahan di negeri itu dapat dibangunkan secara optimum.

Beliau berkata pelaksanaan berkenaan dilihat praktikal dilakukan berdasarkan pencapaian yang dilakukan di Singapura dan Jepun.

"Pelaksanaan kadar cukai yang lebih tinggi bagi tanah terbiar ini hanya akan dilaksanakan pada 2022 selepas penelitian dilakukan Pejabat Tanah dan Galian negeri mengikut situasi semasa isu berkenaan.

Ini kerana tindakan membiarkan tanah berkenaan tanpa pembangunan atau aktiviti bermanfaat bukan sahaja tidak mendatangkan hasil kepada pemilik malah juga kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka semalam.

Beliau berkata usaha memajukan tanah terbiar berkenaan tidak semestinya dilakukan sepenuhnya pemilik tanah namun ia boleh dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk swasta dan kerajaan negeri seperti Jabatan Pertanian khususnya untuk pembangunan sektor pertanian.

Sementara itu, katanya status guna tanah di negeri itu pada masa kini dalam sektor pembangunan pertanian ialah kira-kira 47 peratus dan ia jelas membuktikan Melaka turut memberi fokus terhadap sektor pertanian selain pelancongan dan perindustrian.

Adly berkata pembangunan pertanian negeri itu banyak dibantu menerusi penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sepanjang tahun lepas, 11 daripada 388 pegawai kontrak di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka ditamatkan perkhidmatan berdasarkan pencapaian, penilaian serta syarat yang ditetapkan dan bukannya berunsur politik seperti yang didakwa di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata antara syarat atau penilaian yang ambil kira termasuk perkhidmatan mereka bagi tujuan pelantikan semula perkhidmatan diperakui ketua jabatan, memperoleh markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 2017 sebanyak 80 peratus ke atas dan 85 peratus untuk purata dua tahun LNPT, melepasi tapisan keselamatan dan tiada rekod ketidakhadiran tanpa sebab.

Katanya perkhidmatan bagi pegawai berstatus kontrak akan dinilai setiap tahun berdasarkan syarat tersebut.

"Secara prinsipnya tiada pegawai yang diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan dalam tempoh kontrak dan mereka yang tamat kontrak perkhidmatan layak mendapat ganjaran tamat kontrak serta ganjaran cuti gantian seperti mana yang dinyatakan dalam kontrak perkhidmatan mereka," katanya. - Bernama
Melaka: Tanah terbiar akan dikenakan cukai lebih tinggi Melaka: Tanah terbiar akan dikenakan cukai lebih tinggi Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 04, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...