Atlet negara kini jual jambu selepas PH tamat kontrak


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq buat apa? Jaga la kebajikan atlet negara. Jangan asyik jaga Mahathir sahaja. Mahathir sudah kaya.

SHAH ALAM: Bekas atlet negara yang dahulunya dijulang sebagai penyumbang pingat emas negara di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur kini hidup terumbang-ambing selepas kontraknya ditamatkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Shukor Farhan Suliman, 23 berkata, keputusan MSN itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan dengan menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut.

“Saya bersara bukannya disebabkan kerelaan hati kerana masih ada keinginan mahu berjuang untuk negara, tetapi mungkin rezeki sebagai atlet kebangsaan hanya sampai pada tahun lepas sahaja kerana kontrak tidak disambung.

“Selepas bersara saya ada menjalankan perniagaan. Saya ada kedai gunting rambut dan baru hendak berniaga menjual jambu,” katanya ketika ditemui FMT, di TTDI Jaya, Shah Alam.

Shukor berkata, MSN memberikan 2 sebab kepadanya untuk tidak meneruskan kontrak sebagai atlet, iaitu kegagalan mencapai sebarang pingat dalam Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin.

“Saya gagal di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu. Saya mengaku gagal. Hal ini kerana saingan saya adalah juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dari negara China dan Jepun. Tetapi, bab disiplin ini saya tidak jelas.

Shukor Farhan sewaktu memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

“MSN kata mereka ada rekod disiplin, tetapi saya tidak pernah lihatpun. Apakah saya tidak serius sewaktu latihan? Sebagai atlet kita hendak berjaya dan sentiasa bersungguh-sungguh sewaktu latihan,” katanya.

Jelas Shukor, beliau tidak menjangkakan akan bersara pada usia yang sangat muda kerana percaya masih mempunyai kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Saya menyasarkan untuk jangka masa panjang dalam bidang sukan, memang minat saya ke arah itu. Memang saya tidak jangka umur 22 tahun sudah bersara, sedangkan sudah mewakili negara seawal usia 17 tahun,” katanya.

Mengulas mengenai perniagannya sekarang, Shukor berkata beliau kini selesa dengan kehidupan barunya sebagai orang biasa, tanpa sebarang publisiti media.

Shukor yang bakal menyambut cahaya mata pertama pada Februari depan mengaku masih bergelut dengan kekangan kewangan selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Jelasnya, kerjaya sebagai atlet merupakan pekerjaan yang berisiko tinggi kerana setiap kecederaan yang dihadapi merupakan mimpi ngeri yang boleh menyebabkan kerjaya itu tamat.

Empat atlet termasuk Mohd Nur Syafiq Suhaimy dan jurulatih terlibat kemalangan langgar lari ketika sesi latihan pada September 2017.
Seorang lagi atlet paralimpik dalam acara berbasikal Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27 juga kecewa dengan tindakan MSN menamatkan kontraknya dengan alasan sudah tidak mampu mengayuh basikal.

Ia selepas Nur Syafiq mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para Asean di Kuala Lumpur bermula.

“Kontrak saya tidak disambung atas alasan kaki patah kerana kemalangan. Mereka (MSN) kata saya sudan tidak boleh “perform”. Mana janji MSN dahulu yang mereka tabur, kononnya hendak berikan pekerjaan, kini semua hanya tinggal janji.

“Apabila tamat kontrak habis macam tu sahajalah, tidak ada pampasan, pencen atau sebagainya. Saya sendiri tidak boleh kata apa-apa. Apa yang mereka lakukan saya malas hendak bantah,” katanya.

Nur Syafiq berkata, beliau ketika ini membantu Shukor menguruskan gerai buah jambu dan akan melakukan apa sahaja demi mendapatkan rezeki halal.

“Kalau hendak minta kerja di agensi kerajaan memang sudah tidak boleh, jangan mimpilah. Jadi saya buat apa sahaja yang boleh asalkan dapat meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.

Nur Syafiq berkata, beliau dan Shukor merupakan 2 daripada 5 atlet kebangsaan yang tidak disambung kontrak oleh MSN dan menyifatkan ia perkara luar biasa apabila begitu banyak yang tidak disambung kontrak.

“Jika seramai 5 atlet tidak disambung kontrak, adakah ia masih kesalahan atlet itu sendiri. Seharusnya lihat skop lebih besar apakah punca kegagalan atlet,” katanya. - FMT
Atlet negara kini jual jambu selepas PH tamat kontrak Atlet negara kini jual jambu selepas PH tamat kontrak Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 25, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...