Bertabahlah, 2019 tahun yang mencabar buat kita semua – Najib Razak



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari atas sokongan berterusan sepanjang 2018.

Sejak saya menjadi lebih aktif secara peribadi di media sosial, saya lihat terdapat sambutan dan sokongan daripada rakyat.

Pada saat dan ketika saya berdepan dengan cabaran dan pelbagai isu politik, kata-kata sokongan dan doa daripada saudara-saudari telah memberikan saya semangat semula.

Bermulanya 2019 ini, saya tahu bahawa ramai di antara kita melalui satu tempoh masa yang sukar.

Keadaan ekonomi kita semakin lemah, kos sara hidup semakin meningkat dan terpaksa juga menerima hakikat pahit bahawa banyak janji manis yang tidak akan ditunaikan oleh KERAjaan.

Saya telah bertemu dengan ramai dari seluruh negara dan mendengar sendiri ketidakpuasan, kemarahan dan kekecewaan rakyat.

Ramai yang mengatakan mereka kini menyedari bahawa mereka terpedaya dengan pelbagai propaganda politik dari PH dan mereka hanya dapat melihat realitinya selepas Kerajaan BN jatuh.

Dari segi hal ehwal peribadi, tahun ini juga bakal menjadi satu masa yang mencabar.

Saya akan membersihkan nama saya di mahkamah atas pelbagai tuduhan yang telah dilemparkan oleh kerajaan PH terhadap saya.

Jika saya diberikan perbicaraan yang adil, peguam saya dan saya sendiri yakin bahawa saya akan berjaya.

Walaupun terdapat cubaan daripada beberapa pihak untuk menghalang saya daripada bersuara di media sosial, saya memberi kata janji bahawa saya akan terus mendengar, terus menjelaskan isu masa lalu dan isu semasa yang penting kepada rakyat dan terus bersuara demi saudara-saudari.

Ini adalah kerana masalah yang dihadapi saudara-saudari, isu-isu harian dan masa depan anak-anak Malaysia amatlah penting dan dekat di hati saya.

Saya percaya bahawa setiap seorang dari kita boleh memainkan peranan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

Saya doakan agar tahun baru ini membawakan kebahagiaan dan kemakmuran kepada saudara-saudari sekeluarga.

Semoga Allah memberkati negara tercinta kita. – Najib Razak
Bertabahlah, 2019 tahun yang mencabar buat kita semua – Najib Razak Bertabahlah, 2019 tahun yang mencabar buat kita semua – Najib Razak Reviewed by Abu Leman Abu Seman on January 02, 2019 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...