Lima Ahli Parlimen Sembilan Adun Sabah keluar Umno



UMNO Sabah lumpuh selepas lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa, hari ini.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Bagi ADUN, selain Hajiji yang juga ADUN Sulaman, lapan lagi ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Isnin Alias (Klias), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Ariffin Arif (Membakut), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan).

Setakat ini, hanya bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin belum menyatakan keputusan.

Hajiji berkata, mereka akan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat persekutuan dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di peringkat negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO negeri dan Pusat serta mengambil kira situasi politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, walaupun mengakui UMNO memberi banyak manfaat kepada Sabah termasuk membawa kelebihan apabila pemimpinnya dilantik sebagai menteri dan jawatan penting lain sebelum ini, namun keadaan parti itu sudah berubah.

“Malangnya, UMNO bukan lagi macam dulu. Kepemimpinan semasa tiada arah politik yang jelas, kita tidak pasti ke mana arah UMNO.. berlaku konflik arah masa depan, bergantung kepada siapa pemimpin di atas yang kita tanya.

“Dalam analisis kita terhadap politik semasa di negara ini, kita juga mengambil kira lebih 100,000 ahli UMNO bukan Islam di Sabah. Sebarang perubahan arah politik dalam parti akan menjejaskan mereka untuk terus menyokong UMNO.

“Atas alasan itulah kita memutuskan untuk mengambil inisiatif ini bagi mencorak masa depan politik kita. Kita bermula dengan menjauhkan diri daripada UMNO supaya kita bebas apa saja pilihan yang ada bagi mencorak masa depan kita dalam Malaysia baharu,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sidang media itu dihadiri semua Ahli Parlimen dan ADUN UMNO Sabah terbabit kecuali Yamani yang dimaklumkan berada di luar negara, selain Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO negeri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Pensiangan yang Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup, turut mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN).

UMNO Sabah adalah yang terbesar di seluruh negara berbanding negeri lain dengan keahlian lebih 500,000 orang sebelum ini.

Hajiji berkata, beliau yakin langkah diambil kepemimpinan UMNO Sabah itu turut disertai sebahagian besar ahlinya.

Katanya, langkah itu turut dimaklumkan kepada rakan dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS), namun Hajiji enggan mengulas maklum balas mereka. - HM
Lima Ahli Parlimen Sembilan Adun Sabah keluar Umno Lima Ahli Parlimen Sembilan Adun Sabah keluar Umno Reviewed by Abu Leman Abu Seman on December 12, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...