Gantikan Waytha dengan pemimpin India lain – PAS



KOTA BHARU: PAS tiada masalah sekiranya P Waytha Moorthy digantikan pemimpin India lain, asalkan individu itu dapat menjalankan kewajipan dengan sebaik mungkin.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata desakan parti itu agar Waytha meletak jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bukan bersikap perkauman, namun kerana kegagalannya menjalankan tugas dengan berkesan.

“Kita desak beliau letak jawatan bukan sebab beliau pemimpin (berbangsa) India, tapi kerana kegagalan dia (menjalankan tugas). Kalau kaum lain pegang dan gagal berfungsi untuk mewujudkan perpaduan (dalam negara), kita juga akan minta pemimpin berkenaan letak jawatan.

“Kita bukan rasis dan pada masa sama, kalau ada pihak yang membangkitkan isu perkauman, kita juga tak setuju. Ini soal kegagalan sebagai menteri perpaduan sebab itu dalam kenyataan kita sebelum ini, beliau perlu letak jawatan dan kalau digantikan pemimpin India lain pun kita tak ada masalah.”

Beliau berkata demikian selepas menziarahi bekas penjaga gol kebangsaan, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit kerana masalah tulang belakang sejak awal tahun ini di kediamannya di Jalan Raja Dewa Hilir, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS berpendapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menilai kembali prestasi Waytha dalam hal tersebut agar ia tidak menjadi “barah” dalam masyarakat.

“Waytha Moorthy tidak dapat merangka (pelan) perpaduan sebenar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai. Saya kira Dr Mahathir perlu beri penilaian secukupnya dan lebih 300,000 rakyat (yang menandatangani petisyen) kata dia dah gagal. Ini bukan soal perkauman lagi.”

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PPBSM) memohon Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melihat aspek kebajikan bekas pemain, terutama yang sedang terlantar sakit.

Beliau berkata, Syed Saddiq perlu memberi tumpuan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) yang kini tidak lagi mampu berperanan menjaga kebajikan bekas atlet, berikutan tiada dana mencukupi.

“Saya minta kerajaan hari ini, terutamanya menteri belia dan sukan melihat kembali aspek kebajikan bekas atlet negara kerana mereka ini kebanyakannya dalam keadaan tidak terbela sehingga ada yang menjadi gelandangan.

“Saya kira kerajaan negeri pun ada bagi sedikit peruntukan untuk kebajikan bekas atlet, jadi kita harap perkara ini mendapat perhatian Syed Saddiq.” - FMT
Gantikan Waytha dengan pemimpin India lain – PAS Gantikan Waytha dengan pemimpin India lain – PAS Reviewed by Abu Leman Abu Seman on December 28, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...