Azeez Rahim: Demi Allah, saya tak guna wang penyimpan



KUALA LUMPUR 3 Dis. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sepatutnya membuat siasatan dalaman dengan memanggil bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim terlebih dahulu berhubung penggunaan dana sebanyak RM22 juta bagi menjalankan pelbagai program untuk golongan asnaf pada tahun lalu.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) Tabung Haji yang selama ini diguna pakai.

“Saya terkejut bila SOP tidak diguna pakai walaupun saya bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji adalah lebih baik memanggil saya untuk memberi keterangan terlebih dahulu.

“Kita ada siasatan dalaman yang membolehkan Tabung Haji tanya saya dulu, duit ini datang dari mana dan bagaimana ia diagihkan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.



Jelas Abdul Azeez, beliau bersedia untuk memberi kerjasama daripada pihak polis untuk memberi keterangan penuh berhubung laporan polis yang dilihat berniat jahat terhadapnya.


Katanya, RM22 juta itu adalah hasil daripada pelaburan perniagaan Tabung Haji berjumlah RM7 juta manakala selebihnya adalah sumbangan daripada UMNO, Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak mempunyai perniagaan dengan Tabung Haji.

Tambahnya, keseluruhan RM22 juta itu telah dimasukkan dalam Yayasan Tabung Haji seterusnya diagihkan kepada lebih 60 Parlimen dan seramai 100,000 orang menerima sumbangan daripada tiga program yang diadakan iaitu Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan, tahun lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa bukan duit Tabung Haji khususnya bukan duit penabung, pendeposit, mak cik-mak cik, pak cik-pak cik yang simpan dalam Tabung Haji dikeluarkan.



“Tak boleh, kita tak boleh keluarkan wang sesiapa mereka kena datang, tuan punya badan kena datang untuk letakkan cop jari untuk keluarkan duit,” katanya.

Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Walau bagaimanapun semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat. - UO

ARTIKEL BERKAITAN : Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez Rahim









Azeez Rahim: Demi Allah, saya tak guna wang penyimpan Azeez Rahim: Demi Allah, saya tak guna wang penyimpan Reviewed by Abu Leman Abu Seman on December 03, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...