Tak tahan tekanan, Maszlee setuju lepas jawatan UIA



KUALA LUMPUR: Berdepan tekanan rakan Kabinet dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana pelantikannya sebagai presiden di sebuah universiti, Maszlee Malik bersetuju melepaskan jawatan itu apabila pengganti yang sesuai dilantik, kata seorang pembantu menteri pendidikan itu.

“Dia sedang melantik seseorang untuk mengganti tempatnya. Bagaimanapun proses itu mengambil masa kerana pelantikan perlu persetujuan perdana menteri dan Sultan Pahang,” katanya.

Perkembangan ini 4 hari selepas penasihat khas Maszlee, Wan Saiful Wan Jan tiba-tiba mengumumkan letak jawatan, menimbulkan spekulasi bekas ketua badan pemikir itu juga tidak gembira dengan cara menteri menangkis kritikan terhadap pelantikannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sultan Pahang, yang merupakan ketua perlembagaan UIA, dilapor menamakan Maszlee sebagai presiden universiti itu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak boleh diterima kumpulan pelajar, mengatakan ia berlawanan dengan janji PH berikrar ahli politik tidak akan dilantik mengetuai institusi akademi.

FMT difahamkan jemaah menteri baru-baru ini mengulangi seruan kumpulan pelajar yang menggesa Maszlee melepaskan jawatan itu.

Pejabat menteri memaklumkan Maszlee membuat keputusan untuk menunda pengundurannya daripada UIA sehingga tamatnya majlis konvokesyen 4 hari yang bermula esok.

“Universiti itu masih perlukan seorang presiden, dan proses penggantian akan berlangsung selepas konvokesyen. Ia cuma perlu melalui prosesnya,” katanya.

Difahamkan isu jawatan presiden UIA dipegang Maszlee itu mula dibangkitkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri di mesyuarat Majlis Presiden PH pada awal Oktober.

Bekas ahli akademi yang aktif dalam kumpulan orang Islam profesional menjadi perhatian media apabila beliau dinamakan untuk mengetuai Kementerian Pendidikan, salah satu portfolio utama di mana reformasi besar-besaran dijangkakan bawah kerajaan PH yang dibentuk selepas pilihan raya 9 Mei.

Ketika itu ramai berharap kelayakan akademi Maszlee memungkinkan reformasi sebenar dilakukan di sektor pendidikan, selepas kegagalan program-program setiap seorang menteri kanan yang mendahuluinya, termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun Maszlee diminati sesetengah saluran media, pengkritik bagaimanapun tidak teruja dan ramai mengatakan beliau tidak akan dapat melaksanakan tugas berat mereformasikan sistem pendidikan.

“Mengetuai Kementerian Pendidikan satu peranan yang dipenuhi ranjau politik, dan Maszlee bukannya tidak tahu. Tetapi dia sedia menerima jawatan itu,” kata sumber yang dekat dengan kumpulan akademi Maszlee.

Pengunduran Wan Saiful daripada pejabat Maszlee dilihat satu tamparan ketika beliau berdepan kritikan daripada pembangkang dan kerajaan.

Wan Saiful bingkas menafikan dia berkelahi dengan Maszlee, mengatakan dia mahu tumpu kepada tugas mengatur semula skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selaku pengerusi badan itu.

Tabung itu dibebani hutang berbilion ringgit akibat peminjam bermasalah, dan dirumitkan lagi dengan janji PH pada pilihan raya lepas, yang terpaksa ditarik balik dalam belanjawan baru-baru ini.

Terdapat juga spekulasi mengatakan Wan Saiful cuba menjarakkan diri daripada Maszlee dan isu sekitar jawatan presiden UIA, didakwa kerana dia tidak selesa menangani pelantikan kontroversi itu.

Wan Saiful ketika dihubungi menepis spekulasi tersebut.

“Sebab peletakan jawatan saya sudah dinyatakan secara jelas,” katanya.

Maszlee baru-baru ini dikritik Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin atas pelantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar ke lembaga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pandangan Kadir dilihat sangat berpengaruh dalam kumpulan Dr Mahathir.

Wahid pernah dilantik sebagai senator untuk mengetuai satu portfolio di Jabatan Perdana Menteri semasa pentadbiran Najib. Beliau kemudian meletak jawatan. Selepas pertukaran kerajaan, bekas ketua Maybank itu disingkir daripada jawatan pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

“Mungkin Maszlee tidak sedar Wahid telah dipecat daripada PNB atau dia tidak bersetuju dengan penyingkirannya, atau hanya Maszlee terlalu pandai untuk manusia biasa,” kata Kadir di blognya.

Cadangan Maszlee menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam mengundang label “menteri kasut” daripada wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.

Masalah-masalah ini bagaimanapun hanya sekeluit daripada apa yang dihadapi menteri itu, kata sumber.

“Ramai di kementerian melihat beliau tidak mampu memberi nafas baru kepada agensi-agensi kementerian, yang kebanyakannya mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, adalah menarik untuk melihat pengganti Maszlee di UIA, kerana menteri berusia 44 tahun itu pernah yakin dirinya mampu melakukan reformasi yang sangat diperlukan di institusi berusia 3 dekad itu.

Namun lebih penting adalah masa depan Maszlee dalam jemaah menteri semakin dibincangkan secara diam-diam, di tengah-tengah persepsi dia akan “berundur secara sendirinya”. - FMT
Tak tahan tekanan, Maszlee setuju lepas jawatan UIA Tak tahan tekanan, Maszlee setuju lepas jawatan UIA Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 09, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...