Rosmah mengaku tak bersalah, bebas dengan jaminan RM1 juta



Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah, 66, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya melalui Rizal Mansor, 44, suatu suapan, iaitu, wang sejumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, di Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,500,000 daripada Saidi bagi tujuan sama berkaitan projek serupa di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di Kuala Lumpur pada 7 Sept 2017.


Rosmah, 66, yang berbaju kurung berwarna kuning, hijau dan biru membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan itu selesai dibacakan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta terhadap isteri bekas perdana menteri itu dengan RM500,000 perlu dibayar hari ini dan bakinya dilunaskan dalam tempoh tujuh hari.

Kes akan disebut semula pada 10 Disember ini.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala barisan pembelaan diketuai peguam Datuk Geethan Ram Vincent. - Bernama
Rosmah mengaku tak bersalah, bebas dengan jaminan RM1 juta Rosmah mengaku tak bersalah, bebas dengan jaminan RM1 juta Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 15, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...