P.Pinang akan terus benarkan projek lereng bukit



Berapa ramai dah terkorban masih lagi berdegil.

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini diberitahu kerajaan negeri akan terus membenarkan projek pembangunan di kawasan lereng bukit.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri akan memastikan setiap pemaju dan kontraktor mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebelum memulakan pembangunan di kawasan itu.

“Di Pulau Pinang ada had kawalan pembangunan di kawasan lereng bukit. Kita hadkan dengan tidak membenarkan mana-mana pembangunan bertingkat di kawasan melebihi 76 meter ataupun 250 kaki dari paras laut dan (pembangunan) di kawasan cerun tidak melebihi 25 darjah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) di sini.

ARTIKEL BERKAITAN : Malapetaka lebih besar jika projek lebuhraya Guan Eng diteruskan – Pakar

Muhamad Yusoff ingin tahu sama ada kerajaan Pulau Pinang masih mahu meneruskan pembangunan di kawasan lereng bukit walaupun kejadian tanah runtuh termasuk melibatkan kemalangan jiwa kerap berlaku di negeri ini.

Pada 19 Oktober lepas, sembilan pekerja asing maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong kira-kira 1.56 tengah hari.

Insiden tanah runtuh di Paya Terubong itu merupakan kejadian kedua seumpamanya berlaku di negeri ini selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan.

Jagdeep mengakui Pulau Pinang mempunyai kekangan dari segi tanah dan kerajaan negeri perlu mencari alternatif lain untuk meneruskan pembangunan di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN : TANAH RUNTUH: Telah dilaporkan 3 tahun lepas tapi tiada tindakan – NGO

“Kalau pergi ke bukit, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) akan marah. Oleh itu kita dapati perlu kita lihat sama ada kita boleh tambak tanah. Bila kita nak tambak tanah pun mereka marah juga.

“Jadi, mana saya nak pergi…anak kepada anak saya nanti nak duduk di mana. Justeru itu, kita akan teruskan pembangunan di lereng bukit dan kita tidak berhasrat untuk hentikannya seperti yang dicadangkan oleh Sungai Dua,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan sentiasa mengawal dan memantau setiap projek pembangunan di lereng bukit bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi. – BERNAMA
P.Pinang akan terus benarkan projek lereng bukit P.Pinang akan terus benarkan projek lereng bukit Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 14, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...