Kemenangan Umno di DUN Rantau terbatal



Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau Negeri Sembilan kosong dan mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.

Sehubungan itu, hakim Azimah Omar mengarahkan satu pilihan raya kecil diadakan serta-mereta.

Katanya, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan bagi seseorang calon atau pencadangnya mempunyai pas untuk memasuki pusat penamaan.

"Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi.

"Peguam bagi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub, telah mengakui dalam penghujahan mereka bahawa tidak ada undang-undang atau peraturan bertulis yang mensyaratkan keperluan pas bagi tiga orang yang disebutkan," katanya.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa pegawai pengurus itu tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR masuk sedangkan dia tahu Streram berada di luar pusat penamaan.

"Tindakannya tidak beretika dan tiada integriti," kata Azimah. Beliau juga mengarahkan SPR untuk membayar kos sebanyak RM20,000.

 Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding apabila Amino Agus enggan membenarkan Streram memasuki pusat pencalonan pada 28 April lalu atas dakwaan dia tidak mempunyai pas.

Sebanyak 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan selama 12 hari itu.

Pakar bius berusia 63 tahun itu diwakili empat peguam diketuai Hanif Kathri manakala Mohamad diwakili lima peguam diketuai Hafizam Harun.

Mohamad yang ditemui pemberita selepas penghakiman itu dibuat memberitahu bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada untuk merayu keputusan tersebut.

"Saya hormati keputusan mahkamah.

"Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya," katanya.

Streram berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini kerana mengembalikan semula haknya dan pengundi boleh memilih calon pilihan mereka untuk kerusi DUN N27 Rantau.

"Saya harap akan terpilih sekali lagi dalam pilihan raya itu nanti," katanya. - MK
Kemenangan Umno di DUN Rantau terbatal Kemenangan Umno di DUN Rantau terbatal Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 16, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...