Ingatkan kamus, rupanya Bible



“SAYA lihat dua lelaki mengedar buku kecil kepada setiap pelajar beragama Islam yang keluar dari kawasan sekolah dan terkejut apabila mendapati kandungan buku itu ia adalah kitab Bible,” kata pekerja am yang enggan dikenali.

Menurut pekerja berusia 50-an itu, dia bersama rakan sekerja yang mahu keluar berehat melihat gelagat dua lelaki berusia 40-an dan 60-an mengedarkan Bible berkenaan kepada pelajar sebaik tamat waktu persekolahan.

Katanya, dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, pelajar didapati berada dalam keadaan kebingungan dan mengambil sahaja buku kecil yang dihulurkan, namun meninggalkannya kepada pengawal keselamatan yang berada di pintu pagar utama sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN : PIJAK KEPALA: Edar Bible depan sekolah

“Pada mulanya, saya tertanya-tanya apa buku yang diberikan kepada pelajar sehinggalah saya membukanya dan melihat ia adalah kitab penganut Kristian.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di kawasan sekolah kerana ia menggugat sensitiviti masyarakat beragama Islam,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan sekolah di Bukit Mertajam, hari ini.

NSTP yang mengadakan tinjauan ke sekolah berkenaan dimaklumkan pengawal keselamatan dekat situ bahawa kejadian terbabit kali pertama berlaku.

Menurutnya, difahamkan terdapat tiga atau empat individu tidak dikenali berada di luar pintu utama dan belakang sekolah menunggu pelajar keluar bagi mengedarkan Bible berkenaan.

“Mujurlah kebanyakan pelajar tidak membawa pulang kitab itu kerana mereka sangka bahawa ia adalah kamus dan meninggalkannya kepada pengawal keselamatan untuk diserahkan kepada pihak sekolah,” katanya.


Bagaimanapun katanya, isu berkenaan tular di Facebook selepas ada ibu bapa pelajar memuat naik kandungan buku berkenaan.

“Pelbagai pihak berkaitan juga sudah mengadakan pemeriksaan dan mengambil kesemua naskah Bible yang ditinggalkan di sekolah ini untuk siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Mohd Jamil Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengadakan pemantauan di sekolah itu dan menasihati kepada semua pelajar beragama Islam yang mengambil kitab berkenaan untuk menyerahkannya kepada pihak sekolah.

“Saya ingatkan kepada semua pihak bahawa kawasan sekolah adalah sama sekali dilarang untuk perkara-perkara seperti ini kerana ia jelas melanggar perlembagaan negara.


“Pihak JPN memandang serius akan perkara ini dan meminta supaya setiap individu dapat menghormati kawasan sekolah dan berharap perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menerima tiga laporan yang dibuat dua wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang waris pelajar berhubung isu berkenaan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” katanya. - HM
Ingatkan kamus, rupanya Bible Ingatkan kamus, rupanya Bible Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 07, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...