Babi dalam surau: "Dua kad manila tertulis perkataan yang kita tak boleh dedahkan" – Polis



DUA surau di Serkam, Jasin, dicampak ketulan daging dipercayai daging babi oleh individu tidak bertanggungjawab, sebagai cubaan provokasi umat Islam.

Kejadian pertama dikesan berlaku di Surau Kampung Bukit Serkam oleh penduduk yang mahu menunaikan solat Subuh, hari ini.

Penduduk, Adam Abdullah, 65, berkata, dia ke surau terbabit kira-kira 5 pagi sebelum melihat ada selonggok daging berserta dua kad manila di hadapan pagar bahagian dalam perkarangan surau.

"Sebelum saya melaungkan azan, saya ambil kerusi dan kepung bahagian daging itu kerana bimbang jemaah lain terpijak.

"Selepas solat subuh, seorang jemaah menghubungi polis untuk membuat laporan," kata Adam ditemui di surau terbabit, pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN : Daging, tulang babi dilempar dalam Surau Serkam Darat

Katanya, polis peronda tiba sebelum 7 pagi, manakala Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba kira-kira dua jam kemudian bagi menjalankan siasatan sebelum dilihat mengangkat tiga ketul daging terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima laporan kejadian terbabit dan segera menghantar pasukan 6.15 pagi.

Beliau berkata, daging terbabit dipercayai ketulan daging babi dicampak ke dalam kawasan surau dan akan menghantarnya ke Jabatan Kimia.

"Terdapat juga dua kad manila yang digulung dengan perkataan yang kita tak boleh dedahkan," kata Raja Shahrom selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, Jasin, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Bukan satu tetapi dua surau di Serkam dilempar daging, tulang babi

Raja Shahrom bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kandungan nota pada dua kad manila berkenaan.

Beliau turut menegaskan, perkara itu tidak wajar berlaku dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Beliau juga sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk mengawal surau, masjid dan kuil hindu atau rumah ibadat bagi menjaga keselamatan.

Katanya, beliau bimbang isu ini diambil kesempatan individu tidak bertanggungjawab dan masyarakat tidak boleh beremosi dalam isu berkenaan.

Dalam pada itu, satu lagi kes sama dikesan di Surau An Nur, Ladang Serkam, Jasin, menggunakan modus operandi yang sama iaitu ketulan dipercayai daging babi diletakkan di hadapan pagar dalam perkarangan surau terbabit bersama dua keping nota.

Difahamkan, kejadian hanya disedari kira-kira 8 pagi oleh pekerja pembersihan. - HM
Babi dalam surau: "Dua kad manila tertulis perkataan yang kita tak boleh dedahkan" – Polis Babi dalam surau: "Dua kad manila tertulis perkataan yang kita tak boleh dedahkan" – Polis Reviewed by Abu Leman Abu Seman on November 27, 2018 Rating: 5

No comments


PENAFIAN:
Setiap komen yang ditulis di laman web ini tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan di Malaysia. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk komen yang ditulis di laman web ini. Sebarang bentuk risiko adalah dibawah tanggungan pihak yang menulis komen yang berkenaan.

Loading...
Loading...